Wednesday, December 28, 2011

Tamu Masjid Selat, Pulau Melaka

Negara kita juga kaya dengan keindahan seni bina masjid. Di Melaka sahaja terdapat masjid-masjid lama yang kekal hingga kini seperti Masjid Tengkera, Masjid Kampung Kling, Masjid Kampung Hulu, Peringgit dan lain-lain lagi. Masjid-masjid ini mempunyai seribu satu sejarah dan  seni bina yang unik dan tersendiri.


Papan Tanda Menunjukkan Masjid Selat

Panorama Masjid Selat dari bahagian hadapan

Pada cuti Hari Natal yang lalu, saya dan ahli keluarga telah bersempatan melawat ke Masjid Selat yang terletak di Kampung Selat, Melaka. Apa yang menarik tentang masjid ini ialah, ia telah dibina di atas pulau buatan manusia yang lebih dikenali dengan Pulau Melaka. Melalui pemerhatian saya, seni bina masjid ini adalah gabungan seni bina dari Timur Tengah dan Melayu Tradisional/Kotemporari.


Bahagian Menuju Ke Pintu Masuk Ruang Solat

Panorama Masjid Selat yang kelihatan terapung

Konsep seni bina Melayu jelas diterapkan dalam pembinaan masjid apabila terdapat elemen batang buluh yang pangkalnya dibelah atau pecah dua dan membentuk beberapa bahagian. Masjid ini terletak di pinggir pantai Pulau Melaka menghadap Selat Melaka yang terbentang luas. Terletak di atas kawasan seluas kira-kira 1.8 hektar. Masjid ini akan kelihatan terapung apabila berlaku air pasang. Dan ketika air surut seolah-olah berada di kawasan pinggir pantai.
Apa yang membuat masjid ini lebih istimewa ialah kedudukannya di tengah-tengah pusat bandar Melaka dan kawasan perniagaan ekslusif selain perumahan yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama. Selain solat, orang tempatan dan para pelancong tempatan/asing juga berpeluang untuk meninjau lebih dekat pemandangan di perairan Selat Melaka pada bahagian pelantar hadapan masjid ini.
Masjid ini merupakan ilham Ketua Menteri Melaka, iaitu Datuk Ali Rustam yang menyatakan seni binanya mirip sebuah masjid terapung yang terletak di Bandar Jeddah, Arab Saudi. Meninjau landskap masjid ini di bahagian luar sahaja, jelas terpancar di hati kita akan ketenangan jiwa yang dirasai dengan berlatarbelakangkan perairan Selat Melaka dengan angin laut yang bertiup, amat menyamankan hati dan perasaan kita. Mengamit diri kita akan kebesaran Allah yang maha pencipta dan sukakan keindahan.


Menara Dwi-fungsi sebagai melaungkan azan
dan petunjuk laluan kapal

Di bahagian luar juga tersergam indah binaan menara setinggi 30 meter yang terletak di sebelah kiri pintu gerbang Masjid Selat. Menurut sumber, menara masjid ini bukan sekadar berfungsi melaungkan azan malahan berfungsi sebagai “Rumah Api” dik kerana kedudukannya di pinggir Selat Melaka yang dilintasi banyak kapal dagang dari seluruh pelusok dunia. Ini mengingatkan kita tentang kemashyuran Pelabuhan Melaka pada Zaman Kesultanan Melayu Melaka yang pernah menjadi pusat perdagangan dan perkembangan agama Islam di seluruh Nusantara.
Apa yang menarik tentang struktur seni bina masjid ini adalah terdapatnya empat kubah kecil yang terletak di setiap penjuru mengapit kubah besar berwarna kuning keemasan, berukuran 24 diameter. Kubah Besar yang indah dan unik inilah yang menaungi Dewan Besar Solat.
Pada pemerhatian saya masjid ini lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti dewan solat, dewan serba guna, perpustakaan, kelas pengajian, bilik wuduk, bilik persalinan dan lain-lain lagi bagi memenuhi fungsi aktiviti bagi mengimarahkan masjid.
Apabila saya menjejakkan kaki ke ruang utama solat terasa diri amat tenteram sekali dengan keindahan seni bina dicampur dengan elemen alam semula jadi. Dari ruang solat kita dapat lihat keindahan Selat Melaka yang terbentang luas. Solat di masjid ini walaupun sekadar Solat Sunat Tahyattul Masjid membuatkan hati kita begitu teruja akan kebesaranNya.


Dewan Solat Utama Masjid Selat

Mimbar Masjid

Pemandangan Selat Melaka dari Ruang Solat Utama
Saya juga amat teruja dengan keindahan seni buatan mimbar masjid kerana ia diperbuat daripada kayu jati dengan seni ukit Melayu tradisional bermotifkan flora. Seni-seni kaligrafi, ayat-ayat suci al-Quran turut memenuhi setiap sudut dan dinding-dinding masjid.


Seni Arca Yang Menarik dan Memukau

Seni Arca Yang Bermotifkan Flora
Melalui permerhatian saya, seni muqarnas di bahagian atas mihrab terdiri dari jubin-jubin yang terpilih. Namun, ia telah dibina dengan paten-paten geografi dengan kedalaman yang berbeza. Ini bagi menghasilkan sistem bunyi akustik yang baik. Di samping itu membantu mengurangkan kesan gema.
Pada keseluruhannya, Masjid Selat dicat dengan warna putih disulami dengan warna biru dan kuning keemasan. Ini menyerlahkan lagi keindahan seni bina Islam dan sekali gus mampu menceritakan keindahan Islam itu sendiri.
Kalau anda berkesempatan berkunjung ke Melaka pada cuti akan datang, jadikan Masjid Selat salah satu destinasi percutian anda. Kepada yang bukan Islam (non muslim) atau yang ingin mendekati Islam silalah melawat ke masjid ini. Anda tidak perlu khuatir kerana jubah-jubah disediakan kepada mereka yang memerlukannya sebagai menghormati adab ketika berada di masjid.


Seni Bina di Bahagian Bawah Menara Masjid Selat

Tempat Rehat Untuk Pelawat yang Datang

Landskap Taman di Bahagian Hadapan Masjid Selat

Tangga Pusing disediakan untuk ke Bahagian Atas Masjid

Dari kiri: Hareez, Haizal, Hafeey dan Pn. Zaireen

Penulis Bersama Isteri dan Seorang Anak

Dari kiri: Pn Zaireen, Hjh Aizah, Pn Hairuniza, Hareez,
Haikal dan Hj. Harun
 

No comments:

Post a Comment