Wednesday, January 11, 2012

Pertunjukkan Singa Laut dan Ikan Lumba-lumba di Pulau Melaka, Melaka

Bertempat di Pulau Melaka terdapat satu lagi daya tarikan baru yang pastinya disukai oleh kanak-kanak, iaitu pertunjukan singa laut dan ikan lumba-lumba. Pertunjukan ini telah julung-julung kali diadakan pada 26 November 2011 yang baru lalu. Bertempat di Wildlife Theatre Melaka terdapat konsep pentas terbuka dengan kolam di tengah-tengahnya.


Di Hadapan Wildlife Theatre Melaka

Pentas terbuka ini mampu memuatkan sebanyak 1 500 orang penonton pada setiap kali pertunjukan. Menurut pekerja di situ yang ditemui, pertunjukan memakan masa kira-kira 1 jam setengah. Pertunjukan tersebut membabitkan tiga ekor singa laut berusia lapan bulan yang berasal dari Amerika Selatan, iaitu  Jonny, Mary,  dan Ann. Selain itu, pengunjung juga disajikan dengan pertunjukan haiwan reptilia, burung dan persembahan kebudayaan Sabah dan Sarawak dikenali sebagai Wildlife Theatre Tribe.
Pertunjukan akan diadakan pada dua sesi setiap hari, iaitu pada pukul 3.00 petang dan 7.00 malam. Taman Sealion ini dikatakan mengikut konsep yang sama di Taman Lagoon di Singapura.
Harga tiket bagi kanak-kanak dan veteran adalah RM15.00 dan bagi dewasa RM20.00. Tiket-tiket boleh didapati di kaunter tiket di pintu masuk.


Kaunter Membeli Tiket, Kelihatan Senarai Harga Tiket

Pembayaran boleh secara tunai atau kad kredit (Visa atau Master). Walaupun sekitar kawasan ini masih dalam proses pembangunan penulis merasakan Taman Sealion ini mampu menarik ramai pengunjung dari dalam mahupun luar negara. Penulis merasakan promosi yang dilakukan  oleh kerajaan Melaka melalui pelbagai media mampu menarik para pelancong berkunjung ke Taman Sealion, Melaka.
Saya tidak lagi berkesempatan menyaksikan pertunjukan di sini memandangkan kesuntukan masa. Walau bagaimanapun saya sempat menangkap gambar Taman Sealion ini untuk tontonan umum.

 
Pemandangan Sekitar Jambatan Menghubungkan
Tanah Besar dan Pulau Melaka


1 comment:

  1. Thanks for sharing because I missed this place when I was in Malacca one month ago, maybe my next trip, I will check out.

    ReplyDelete