Wednesday, December 14, 2011

Kota Lukut, Port Dickson, Negeri Sembilan


Kalau anda dalam perjalanan balik dari Port Dickson jangan lupa singgah di Kota Lukut, Negeri Sembilan. Kota ini terletak di Bukit Gajah Mati dekat Pekan Lukut, Port Dickson. Menurut sumber sejarah, kota ini mula dibina oleh seorang pembesar Melayu  pada tahun 1820-an. Raja Busu yang merupakan salah seorang kerabat Diraja yang berasal dari Selangor dikatakan yang menjadi pengasas Kota Lukut. Oleh itu, dikatakan Raja Juma’at bukanlah pengasas sebenar Kota Lukut.


Mercu Tanda Kota Lukut. Dapat dilihat dari jarak jauh

Selepas Raja Busu mati dibunuh oleh orang-orang Cina dan istana baginda dibakar dalam satu pergaduhan pada tahun 1845, peranan beliau di Lukut telah hilang begitu sahaja. Raja Juma’at lebih dikenali di Lukut kerana jasa baginda membina semula kota yang musnah dan memajukan Lukut sebagai pusat perdagangan yang mashyur pada ketika itu.

Raja Juma’at terkenal sebagai seorang pengusaha bijih timah terkaya di Lukut pada pertengahan abad ke-19. Malangnya setelah beliau meninggalkan dunia, puteranya Raja Bot gagal meneruskan kegemilangan Kota Lukut menyebabkan ianya mundur dan akhirnya ditinggalkan begitu sahaja. Raja Juma’at meninggal dunia dalam tahun 1864 dan disemadikan disuatu kawasan tidak jauh dari istananya di Bukit Gajah Mati (sekarang dinamakan Makam Diraja Lukut). Di sini juga bersemadinya kaum keluarga Raja Juma’at termasuklah permaisuru, bonda, dan putera-puterinya.
Di Lukut ini juga terletaknya Muzium Lukut. Muzium ini terletak kira-kira 12 km dari bandar Port Dickson, Negeri Sembilan dan 78 km dari Kuala Lumpur. Tujuan muzium ini dibina adalah untuk memelihara dan memulihara warisan sejarah negara.

Bahagian Hadapan Muzium Kota Lukut atau Muzium Lukut

Di samping itu, ia turut memaparkan sejarah Lukut dari kurun ke-19 hingga 1880-an  iaitu sehingga Lukut dimasukkan ke dalam daerah Sungai Ujong, Negeri Sembilan. Muzium ini dibuka dari jam 9:00 pagi hingga 6:00 petang setiap hari. Masuk adalah percuma. Muzium Lukut mempunyai beberapa galeri pameran antaranya Galeri Sejarah Lukut, Galeri Negeri Sembilan dan Galeri Teknologi Pembuatan Masyarakat Tradisional. Muzium ini dibina di Lukut kerana terdapat sebuah kota/kubu pertahanan yang penting satu ketika dahulu. 
Pintu masuk ke Kota Lukut di Puncak Bukit

Sebahagian tapak istana Kota Lukut yang masih tinggal
Perigi Sultan yang digunakan oleh orang-orang istana

Pelbagai artifak telah ditemui di sekitar kubu ini. Pelbagai koleksi dan tokoh terbabit dalam sejarah Lukut dijelmakan semula dalam bentuk illustrasi, gambar dan artifak. Kota ini menunjukkan bangsa Melayu mempunyai tamadun yang membanggakan. Muzium ini dibina untuk tatapan masyarakat tempatan, pelancong asing, pelajar dan penyelidik sejarah.

No comments:

Post a Comment