Wednesday, November 30, 2011

TRIP TO NORTH SUMATRA ISLANDS, INDONESIA

Hari Pertama (12 Mac 2008);
Pada bulan Mac 2008, saya sekeluarga dan rakan-rakan yang lain telah pergi bercuti di Medan, Indonesia. Di sana kami dapat melihat pemandangan yang menarik yang sukar dilihat di Malaysia. Kami bertolak dari LCCT menaiki pesawat Airasia dan sampai di Airport Polonia, Medan kira-kira pukul 11.30 pagi. Perjalanan hanya memakan masa 55 minit.


Lapangan Terbang Polonia, Medan

Sampai sahaja kami di sana, wakil travel agensi kami telah menunggu dengan senyuman. Kami diarah untuk menaiki bas persiaran yang telah disediakan oleh pihak agensi. Agak selesa juga basnya dan masih banyak tempat duduk yang kosong. Kami dibekalkan dengan tuala basah, kuih dan air minuman. Kami dibawa mengelilingi kota Medan dan sempat singgah di Istana Maimun. Istana ini terletak di Jalan Brigjen Katamso, Medan.Istana Maimun merupakan peninggalan Sultan Kerajaan Deli yang bernama Sultan Makmun Al- Rasyid Perkasa Alamsyah. Pusat kerajaan deli ini didominasi dengan warna kuning. Istana dikatakan telah siap dibina pada tahun 1888 dengan ciri artistik Itali.
Kami meneruskan perjalanan menaiki bas ke Parapat. Dalam perjalanan, kami telah dibawa ke sebuah restoran untuk menikmati hidangan tengah hari yang sungguh enak. Perjalanan ke Parapat mengambil masa kira-kira 4 jam, iaitu sejauh 178 km. Dalam perjalanan ada ahli rombongan kami yang tertidur kerana keletihan. 

Pemandangan dari puncak bukit di Hotel Parapat. Kelihatan
Danau Toba dan Pulau Samosir
Parapat terletak di pinggir Danau Toba. Danau Toba sebuah tasik yang terbentuk daripada kawah gunung berapi yang cantik dengan alam semula jadinya. Kami sampai di Parapat pada waktu lewat petang ketika hutan gerimis. Kesempatan ini kami ambil untuk berehat sahaja, menikmati udara segar dan melihat pemandangan Danau Toba yang amat menakjubkan dari puncak bukit. Pada sebelah malamnya, kami telah menikmati menu makan malam (sajian tempatan yang enak) di Hotel Parapat.

Kelihatan bandar Parapat dari Hotel Parapat
Hari Kedua (13 Mac 2008);
Sarapan pagi bermula pada jam 7.00 pagi di hotel. Kemudian, tepat jam 8.30 pagi kami menaiki feri menuju ke Samosir Island. Untuk pengetahuan anda semua,  Pulau Samosir  ini dikenali sebagai “Pulau segala Pulau”. Ini kerana Pulau Samosir ini terletak di tengah-tengah Danau Toba. Perjalanan kami dari Parapat ke Pulau Samosir adalah dengan menaiki feri.

Kelihatan pokok lembayung tumbuh meliar di sekitar Danau Toba
 
Dalam perjalanan ke Pulau Samosir kelihatan pusat rekreasi
dan hotel yang menanti kedatangan para pelancong

Menurut pemandu feri untuk mengelilingi pulau ini mengambil masa selama sehari. Di Pulau Samosir terdapatnya sebuah kampung bernama “Tomok”. Tomok bermaksud “gemuk” dalam bahasa Indonesia. Terdapat juga tanah perkuburan orang Batak.

Dewan Beradu Orang Batak Karo
Terdapat juga Istana kaum Batak yang terkenal dengan orang makan orang. Orang Batak sebenarnya hanya makan orang yang di dapati bersalah melakukan jenayah dan zina di kalangan mereka. Anda tak perlu risau pergi ke sana sebab budaya makan orang itu telah ditinggal sejak 100 tahun lalu. Kami balik semula ke Parapat untuk menikmati makan tengahari di Restoran Istana. Tepat jam 2.30 petang kami bertolak menuju bandar Brastagi. Dalam perjalanan ke Tanah Tinggi Brastagi kami singgah di Bukit Simarjarunjung yang terkenal dengan teh halianya yang dipanggil Bandrek serta keenakkan goreng pisangnya sambil menikmati keindahan alam sekitarnya sambil menikmati minum petang yang sungguh mengasyikkan. Dalam perjalanan ke Brastagi kami singgah di Air Terjun Si Piso-Piso. 

Air Terjun Si-Piso-Piso. Ciri alam semula jadi
yang unik dan menakjubkan

Sungguh menakjubkan ciri fizikal air terjun ini begitu unik, teringatkan aku akan kebesaran tuhan yang maha pencipta. Sepanjang perjalanan dapat aku lihat bentuk gunung berapi yang unik dan masih mengeluarkan gas dipuncaknya dan tanih hitam lava bes yang subur. Suhu sepanjang perjalanan menang nyaman kira-kira 18° hingga 20°, terasa seperti di Cameron Highland. Faktor inilah yang menyebabkan tanaman seperti lobak, kobis, strawberi, pisang kaki hidup subur di sini. Kami juga sempat singgah di kawasan petempatan Raja Batak. Bentuk rumahnya seolah-olah rumah Minangkabau. Paling unik di dalamnya terdapat banyak bahagian (bilik).

Istana Raja Batak. Suatu ciri binaan unik yang tidak terdapat
di negara kita Malaysia 

Setiap bahagian dilengkapi dengan dapur, stor kecil dan tempat tidur. Apa yang menarik pada setiap bahagian ini diberi kepada isteri-isteri (gundik) Raja Batak yang berkuasa pada masa itu. Menurut pemandu pelancong kami, terdapat satu bilik khas yang tertutup digunakan oleh Raja Batak untuk beradu dengan isteri-isteri beliau. 
Salah satu bilik isteri Raja Batak
Kami tiba di hotel lima bintang, iaitu Grand Mutiara Hotel di tengah-tengah bandar Brastagi pada lewat petang (hampir maghrib). Tiada apa aktiviti yang dilakukan di sini cuma kami menikmati makan malam (round table) dengan cita rasa makanan tempatan. Unik juga makanannya tapi enak rasanya. 

Hari Ketiga (14 Mac 2008);
Awal pagi saya telah bangun untuk menikmati udara segar di sekitar Grand Mutiara Hotel (5 bintang). Sejuk dan nyaman kerana kami masih berada di kawasan pergunungan. Kalau nak mandi memang sejuk terpaksa ditangguhkan sampai ke tengah hari. Jam 8.30 pagi  kami bersarapan pagi di hotel. Mewah juga makanannya dan sedap. Maklumlah hotel lima bintang. Hari ini kami perlu pulang semula ke Medan sebelum pulang ke Kuala Lumpur esok hari. Kami check-out hotel kira-kira pukul 9.30 pagi. Kami telah dibawa ronda-ronda sekitar  Bandar Brastagi. Kami sempat pergi ke kawasan pasar di Brastagi, Bukit Gundaling. Di bukit ini kita dapat lihat pemandangan sekitar bandar Brastagi dan aktiviti gunung berapi yang masih aktif.  
Kawasan bukit yang masih aktif dengan aktiviti gunung berapi.
Kelihatan asap (gas sulfur) di puncak bukit

Kalau anda bersempatan, anda boleh menaiki kuda dan ronda-ronda sekitar bukit. Kalau berminat menaiki kereta kuda di sekitar pasar ada tersedia kereta kuda yang boleh membawa anda bersiar-siar sekitar bandar Brastagi. Bayarannya amat berpatutan. Perjalanan di teruskan lagi ke Bandar Medan dan sempat makan tengah hari di sebuah restoran tempatan. Kami tinggal di hotel 2 bintang, kalau tak silap City Hotel. Pada sebelah petang kami mengambil kesempatan untuk meronda-ronda sekitar bandar Medan dan membeli-belah. Memang murah harga barang-barangnya. Tapi yang tidak seronoknya banyak peniaga jalanan yang sering memerhatikan para pelancong. Mereka akan mengekori kita bagi melariskan barangan jualan mereka. Sampai ke pintu baspun mereka akan ekori kita.


Isteri dengan anak-anakku: Zaireen Hassan,
Muhammad Hafeey & Muhammad Hareez

Penulis dan isteri: Huzairi & Zaireen

Gambar bersama-sama ahli rombongan yang lain
di taman Hotel Grand Mutiara, Brastagi
Hari Keempat (15 Mac 2008)....hari terakhir di Medan; 

Medan antara Bandar Metropolitan yang
Terbesar di Pulau Sumatera

Hari ini merupakan hari terakhir kami berada di kota Medan. Kami perlu keluar (check-out) pukul 12.00 tengah hari. Masalahnya, penerbangan kami pulang ke Kuala Lumpur adalah pada pukul 10.00 malam. So, banyak masa kami perlu luangkan untuk menunggu waktu itu. Kami berpakat dengan pemandu bas pelancong kami dan wakil agensi pelancong kami untuk menyewa bas hingga malam. Akhirnya mereka bersetuju dengan bayaran yang kami tawarkan. Kami telah dibawa sekali lagi meronda ke kota Medan, di bawa ke kompleks beli-belah seperti Medan Mall, pasar jualan, pusat kraf tangan dan makan di Restoran Garuda. Restoran ini memang menyediakan masalah ala medan seperti sambal goreng, gulai lemak, rendang, pelbagai jenis masalah sayuran dan sebagainya. Ada antara ahli rombongan kami yang membeli rendang untuk dibawa pulang ke Kuala Lumpur...enak sekali katanya. Akhirnya kira-kira pukul 8.00 malam selepas makan malam di Restoran Garuda kami perlu bergegas ke Polonia Airport untuk check-in. Malangnya penerbangan kami telah ditunda sejam, so kami akan menaiki kapal terbang pukul 11.00 malam.

Gambar kenangan terakhir bersama pemandu pelancong
 kami dan ahli rombongan yang lain sebelum check-in
Saya dan ahli rombongan yang lain sempat mengambil gambar kenang-kenangan di sekitar kawasan terminal airport. Saya dan ahli rombongan yang lain telah tiba di LCCT, Sepang kira-kira pukul 12.00 tengah malam. Sepanjang perjalanan yang singkat anak-anakku tidur sahaja setelah penat bermain di airport ketika menunggu pesawat. Alhamdullillah, perjalanan kami selamat pergi dan selamat pulang. Kenangan saya bersama ahli rombongan yang lain melancong ke Medan dan kawasan sekitarnya memang satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan sepanjang hayatku.
 
 
 

1 comment:

  1. ASSALAMUALAIKUM
    FADLY MEDAN TRANSPORT MENYEDIAKAIN FAKEJ MUSLIM,MURAH,BERBALOI
    DRIVER TOUR GUIDE MUSLIM,MAKAN HALLALLAN THOIBAH
    SILA CALL TO WHATSAPP:+6281376455045
    NO AGENT NO PAYMENT
    TANPA ORANG TENGAH

    ReplyDelete