Wednesday, December 28, 2011

Tamu Masjid Selat, Pulau Melaka

Negara kita juga kaya dengan keindahan seni bina masjid. Di Melaka sahaja terdapat masjid-masjid lama yang kekal hingga kini seperti Masjid Tengkera, Masjid Kampung Kling, Masjid Kampung Hulu, Peringgit dan lain-lain lagi. Masjid-masjid ini mempunyai seribu satu sejarah dan  seni bina yang unik dan tersendiri.


Papan Tanda Menunjukkan Masjid Selat

Panorama Masjid Selat dari bahagian hadapan

Pada cuti Hari Natal yang lalu, saya dan ahli keluarga telah bersempatan melawat ke Masjid Selat yang terletak di Kampung Selat, Melaka. Apa yang menarik tentang masjid ini ialah, ia telah dibina di atas pulau buatan manusia yang lebih dikenali dengan Pulau Melaka. Melalui pemerhatian saya, seni bina masjid ini adalah gabungan seni bina dari Timur Tengah dan Melayu Tradisional/Kotemporari.


Bahagian Menuju Ke Pintu Masuk Ruang Solat

Panorama Masjid Selat yang kelihatan terapung

Konsep seni bina Melayu jelas diterapkan dalam pembinaan masjid apabila terdapat elemen batang buluh yang pangkalnya dibelah atau pecah dua dan membentuk beberapa bahagian. Masjid ini terletak di pinggir pantai Pulau Melaka menghadap Selat Melaka yang terbentang luas. Terletak di atas kawasan seluas kira-kira 1.8 hektar. Masjid ini akan kelihatan terapung apabila berlaku air pasang. Dan ketika air surut seolah-olah berada di kawasan pinggir pantai.
Apa yang membuat masjid ini lebih istimewa ialah kedudukannya di tengah-tengah pusat bandar Melaka dan kawasan perniagaan ekslusif selain perumahan yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama. Selain solat, orang tempatan dan para pelancong tempatan/asing juga berpeluang untuk meninjau lebih dekat pemandangan di perairan Selat Melaka pada bahagian pelantar hadapan masjid ini.
Masjid ini merupakan ilham Ketua Menteri Melaka, iaitu Datuk Ali Rustam yang menyatakan seni binanya mirip sebuah masjid terapung yang terletak di Bandar Jeddah, Arab Saudi. Meninjau landskap masjid ini di bahagian luar sahaja, jelas terpancar di hati kita akan ketenangan jiwa yang dirasai dengan berlatarbelakangkan perairan Selat Melaka dengan angin laut yang bertiup, amat menyamankan hati dan perasaan kita. Mengamit diri kita akan kebesaran Allah yang maha pencipta dan sukakan keindahan.


Menara Dwi-fungsi sebagai melaungkan azan
dan petunjuk laluan kapal

Di bahagian luar juga tersergam indah binaan menara setinggi 30 meter yang terletak di sebelah kiri pintu gerbang Masjid Selat. Menurut sumber, menara masjid ini bukan sekadar berfungsi melaungkan azan malahan berfungsi sebagai “Rumah Api” dik kerana kedudukannya di pinggir Selat Melaka yang dilintasi banyak kapal dagang dari seluruh pelusok dunia. Ini mengingatkan kita tentang kemashyuran Pelabuhan Melaka pada Zaman Kesultanan Melayu Melaka yang pernah menjadi pusat perdagangan dan perkembangan agama Islam di seluruh Nusantara.
Apa yang menarik tentang struktur seni bina masjid ini adalah terdapatnya empat kubah kecil yang terletak di setiap penjuru mengapit kubah besar berwarna kuning keemasan, berukuran 24 diameter. Kubah Besar yang indah dan unik inilah yang menaungi Dewan Besar Solat.
Pada pemerhatian saya masjid ini lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti dewan solat, dewan serba guna, perpustakaan, kelas pengajian, bilik wuduk, bilik persalinan dan lain-lain lagi bagi memenuhi fungsi aktiviti bagi mengimarahkan masjid.
Apabila saya menjejakkan kaki ke ruang utama solat terasa diri amat tenteram sekali dengan keindahan seni bina dicampur dengan elemen alam semula jadi. Dari ruang solat kita dapat lihat keindahan Selat Melaka yang terbentang luas. Solat di masjid ini walaupun sekadar Solat Sunat Tahyattul Masjid membuatkan hati kita begitu teruja akan kebesaranNya.


Dewan Solat Utama Masjid Selat

Mimbar Masjid

Pemandangan Selat Melaka dari Ruang Solat Utama
Saya juga amat teruja dengan keindahan seni buatan mimbar masjid kerana ia diperbuat daripada kayu jati dengan seni ukit Melayu tradisional bermotifkan flora. Seni-seni kaligrafi, ayat-ayat suci al-Quran turut memenuhi setiap sudut dan dinding-dinding masjid.


Seni Arca Yang Menarik dan Memukau

Seni Arca Yang Bermotifkan Flora
Melalui permerhatian saya, seni muqarnas di bahagian atas mihrab terdiri dari jubin-jubin yang terpilih. Namun, ia telah dibina dengan paten-paten geografi dengan kedalaman yang berbeza. Ini bagi menghasilkan sistem bunyi akustik yang baik. Di samping itu membantu mengurangkan kesan gema.
Pada keseluruhannya, Masjid Selat dicat dengan warna putih disulami dengan warna biru dan kuning keemasan. Ini menyerlahkan lagi keindahan seni bina Islam dan sekali gus mampu menceritakan keindahan Islam itu sendiri.
Kalau anda berkesempatan berkunjung ke Melaka pada cuti akan datang, jadikan Masjid Selat salah satu destinasi percutian anda. Kepada yang bukan Islam (non muslim) atau yang ingin mendekati Islam silalah melawat ke masjid ini. Anda tidak perlu khuatir kerana jubah-jubah disediakan kepada mereka yang memerlukannya sebagai menghormati adab ketika berada di masjid.


Seni Bina di Bahagian Bawah Menara Masjid Selat

Tempat Rehat Untuk Pelawat yang Datang

Landskap Taman di Bahagian Hadapan Masjid Selat

Tangga Pusing disediakan untuk ke Bahagian Atas Masjid

Dari kiri: Hareez, Haizal, Hafeey dan Pn. Zaireen

Penulis Bersama Isteri dan Seorang Anak

Dari kiri: Pn Zaireen, Hjh Aizah, Pn Hairuniza, Hareez,
Haikal dan Hj. Harun
 

Saturday, December 17, 2011

A Trip To Kuantan and Swiss-Garden Resort & Spa

Tanggal 16 Disember saya sekeluarga telah pergi bercuti ke Kuantan, Pahang. Kami bertolak dari Kuala Lumpur kira-kira pukul 9.00 pagi dan sampai di Kuantan kira-kira pukuol 12.30 petang. Alhamdulillah, sepanjang perjalanan kami ke Kuantan tiada apa yang berlaku sepanjang perjalanan. Kami menggunakan Lebuh Raya Karak dan kemudiannya menggunakan Lebuh Raya Pantai Timur.

Pemandangan Lebuh Raya Karak semasa dalam perjalanan

Pemandangan  di Jambatan berdekatan
 bandar Temerloh, Pahang
Di sepanjang perjalanan menggunakan Lebuh Raya Pantai Timur pemandangan sungguh indah kerana kehijauan hutan khatulistiwa dan keunikan gunung-ganangnya. Penoramanya sungguh mempersonakan. Dik kerana itu jugalah negeri Pahang memang agak terkenal dengan aktiviti ekopelancongan yang bercirikan hutan dan kawasan tanah tinggi.
 
Antara Buah-buahan Tempatan yang
dijual di R&R dalam perjalanan ke Kuantan
Sepanjang perjalanan menuju ke Kuantan cuaca agak mendung. Maklumlah pada bulan Disember ni, negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia mengalami musim tengkujuh. Sinaran terik matahari agak sukar kelihatan pada masa ni. Setelah kami tiba di Bandar Kuantan kami sempat beronda-ronda mengelilingi Bandar Kuantan dengan menaiki kereta sahaja. Maklumlah hujan renyai-renyai dan kadang-kala amat lebat menyukarkan kami untuk bersiar-siar di bandar.

Salah satu mercu tanda yang terdapat di Kuantan, Pahang

Kaunter khidmat pelanggan hotel 

Kami check-in di Hotel Swiss-Garden Resort & Spa yang terletak di Pantai Balok. Seronok juga tinggal di hotel ini kerana selesa, kemudahan baik dan lengkap, layanan yang mesra, bilik yang selesa dan pemandangan yang indah.

Suasana bilik yang selesa, luas, bersih, dan nyaman

Rawatan SPA ala-ala Bali juga disediakan di hotel ini

Kerusi malas yang disediakan oleh pelanggan
yang ingin berehat sekitar kolam renang

Persekitaran kolam renang yang cantik dan menawan
Pada waktu malam hotel ini kelihatan seperti istana yang diterangi dengan pelbagai lampu berwarna-warni. Tambahan pula perayaan X-mas  hampir menjelang tiba, maka dekorasinya banyak bercirikan X-mas. Pada mulanya, kami telah tempah bilik untuk 2 malam, malangnya pada saat akhir kami mengambil keputusan untuk tinggal sehari sahaja. Ini kerana faktor cuaca di mana pada sebelah pagi lagi cuaca dah mula hujan dan keadaan ini dibawa sampai ke petang. Hujan disini memang agak lebat hingga membawa kepada banjir kilat dijalan-jalan utama. So, awas.

Gambar keadaan hujan lebat yang sempat kami
rakamkan dari bilik hotel
Sekitar Pantai Balok, Beserah, hingga Bandar Kuantan kelihatan di kiri-kanan jalan banyak terdapat gerai-gerai yang menyajikan makanan seafood. Yang paling istimewa terdapat gerai-gerai yang menjual makanan popular tempatan seperti keropok leko. Terdapat gerai-gerai yang menjual produk hasil laut seperti keropok, udang kering, ikan  masin, sotong kering dan pelbagai  lagi. Kami sempat makan malam di Restoran Planet Seafood yang terletak hanya ½ kilometer dari hotel. Makanan kat sini memang sedap dan menyelerakan. Apa yang menariknya harga-harga menu menang agak berpatutan. Tapi anda harus berhati-hati kerna sesetengah gerai makanan di Bandar Kuantan berdekatan bazaar lama tepi sungai, walaupun menyediakan makanan baget, tapi jangan terkejut kalau apabila nak bayar bil harganya agak tidak berpatutan. Apa yang boleh dikatakan mungkin mereka merasa ini bukan orang tempatan, so boleh “ketok” dalam bahasa mudah. So, awas, tengok menu dan tanya harga sebelum makan.

Salah sebuah restoran  makanan laut yang popular dalam
kalangan pelancong (restoran Cina tapi halal)
Kami juga berkesempatan makan keropok leko di Restoran Fatimah. Restoran ini terletak betul-betul di depan hotel. Anda boleh mencuba keropok leko di gerai ni memang sedap. Terdapat juga minuman istimewa iaitu air kelapa muda. Anda bolehlah beli keropok leko cap Fatimah ini dengan harga RM5.00 sebungkus untuk dibawa pulang. Jangan lupa beli sos pencicahnya sekali.

Keropok leko Fatimah yang sedap dan ranggup

Kelihatan anak-anakku dan anak rakanku
sedang menjamah keropok leko



Ahli keluargaku dengan keluarga rakanku sedang bersantai
di lobi hotel pada waktu malam
Tiada banyak aktiviti yang kami dapat lakukan di sini kerana faktor cuaca. Nak mandi dikolampun susah kerana hujan turun tidak menentukan. Nak mandi di lautpun, bendera merah dinaikkan, menunjukkan amat berbahaya untuk bermandi-mandi. Tepi laut menang cantik walaupun kekurangan pokok. Agak menyeramkan melihat deruan ombak yang agak ganas menderu seolah-olah berlaku Tsunami kecil. Agak hairan juga masih ada orang yang bermandi-mandi di situ walaupun tanda amaran telah dikeluarkan.
Percutian kami kali ini, bersama dengan keluarga Encik Herman dan Puan Normah bersama tiga orang anak mereka. Sudah lama kami impikan untuk bercuti bersama hinggalah ke hari itu baru hajat kesampaian.
Walaupun perjalanan kami ke Kuantan agak singkat, namun ia banyak meninggalkan kenangan manis yang tidak dapat dilupakan. Bila lagi kami akan bercuti ke Kuantan, hanya masa yang dapat menentukan. Walau apapun yang pasti kami akan memilih ke Kuantan  bukan pada musim tengkujuh.


Wednesday, December 14, 2011

i-City, Shah Alam, City of Digital Light

Salah satu destinasi pelancongan bertemakan IT yang terkenal di Selangor ialah i-City di Seksyen 7, Shah Alam. Kami sekeluarga telah mengambil kesempatan pada cuti hujung minggu untuk menikmati keindahan i-City seperti mana yang diuar-uarkan oleh rakan-rakan tentang keindahan tempat ini terutamanya pada waktu malam. Untuk ke i-City kita boleh menggunakan laluan Lebuh Raya Persekutuan ke Shah Alam. Di sepanjang lebuh raya, anda akan melihat papan tanda menuju ke i-City. Apabila anda menghampiri Batu Tiga, ambil susur keluar ke tol Batu Tiga. Ikut laluan ini sehingga anda melihat stesen minyak pertama BHP di sebelah kiri. Pastikan anda tetap berada di sebelah kiri dan ikuti papan tanda ke i-City. Apabila kami menghampiri kawasan i-City, mata tertumpu kepada pokok-pokok di sepanjang jalan utama dan kawasan padang tempat letak kereta. i-City yang mempunyai keluasan kira-kira 28.8 hektar terkenal sebagai bandar lampu digital dan destinasi pelancongan di Malaysia yang menggunakan teknologi lampu LED canggih.


Suasana di dalam Snowalk
Oleh itulah, pada waktu malam  kawasan ini menjadi syurga lampu yang cukup indah dan tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Semua hiasan lampu yang memukau itu boleh dialami sendiri di CityWalk dan CityPark.CityWalk adalah kawasan pejalan kaki yang dijadikan pentas utama untuk pelawat menjalankan pelbagai aktiviti ketika berkunjung ke sana. Dimajukan oleh I-Berhad (I-Bhd), CityWalk dibangunkan dengan mengambil model daripada Clarke Quay, Singapura. Terdapat juga pusat beli-belah pejalan kaki sepanjang 400 meter yang diambil berasaskan model Universal CityWalk di Los Angeles, Amerika Syarikat.
Kelihatan anak-anakku dan anak buah bermain salji

Ia seakan-akan  menggambarkan suasana perarakan Mardi Gras dengan tarikan utama pertunjukan cahaya dan bunyi. Di samping itu, CityPark juga mempunyai daya tarikannya yang tersendiri. Di CityPark, pengunjung bebas menikmati keindahan malam yang diterangi lampu berwarna-warni itu. Di bahagian hujung CityPark, anda bagaikan berada di alam fantasi dengan ditemani pelbagai jenis haiwan yang bercahaya. Apa yang saya dapat lihat kanak-kanak paling teruja tatkala melihat haiwan kegemaran mereka seperti rusa, harimau dan bangau yang bercahaya terang benderang. i-City juga akan menjadi sebuah bandar berteknologi tinggi. i-City menempatkan ruang pejabat pusat siber canggih dengan pusat konvensyennya sendiri. Ia turut memiliki apartment, hotel dan pusat beli-belahi.

Kelihatan pokok-pokok yang dilipahi dengan lampu LED

Untuk merasai tinggal di kawasan kutub (Artik) kita boleh memasuki kawasan Snowalk. Kami mengambil kesempatan ini untuk merasai tinggal di kawasan kutub. Bayaran masuk adalah RM25 untuk dewasa dan RM20 untuk kanak-kanak. Kami dibekalkan dengan jaket panas. Malangnya, kami tidak memakai kasut yang sesuai dan juga sarung tangan kerana tidak bersedia pada mulanya. Paling malang perjalanan kami di Snowalk hanya sebentar sahaja kerana isteriku telah merasa kejang di kaki dan tambahan pula anakku telah kesejukan teramat sangat. Dalam keadaan cemas, kamipun bergegas mencari jalan keluar. Alhamdulillah akhirnya kami jumpa jalan keluar. Walau bagaimanapun, dalam Snowald terdapat iglu,ukiran ais, mainan skuter ais, gelongsor ais, patung ais, snowman dan pelbagai lagi aktiviti menarik. Anda di luar sana jangan lepaskan peluang ini untuk berkunjung ke Snowalk.

Jika mahu melihat hiasan lampu di i-City, kunjungi bandar cahaya itu, ia dibuka setiap hari dari jam 7.00 hingga 12.00 malam. Kita perlu membayar RM10.00 untuk bayaran tempat letak kereta. Bayaran ini lebih murah hari bekerja/sekolah. So, jangan lepaskan peluang untuk membawa ahli keluarga kita ke i-City untuk merasai suatu keseronokan yang lebih daripada biasa.
Untuk keterangan lanjut, hubungi i-City di talian 03-5521 8800 atau layari web http://icity.creativebugs.com.my/


Kota Lukut, Port Dickson, Negeri Sembilan


Kalau anda dalam perjalanan balik dari Port Dickson jangan lupa singgah di Kota Lukut, Negeri Sembilan. Kota ini terletak di Bukit Gajah Mati dekat Pekan Lukut, Port Dickson. Menurut sumber sejarah, kota ini mula dibina oleh seorang pembesar Melayu  pada tahun 1820-an. Raja Busu yang merupakan salah seorang kerabat Diraja yang berasal dari Selangor dikatakan yang menjadi pengasas Kota Lukut. Oleh itu, dikatakan Raja Juma’at bukanlah pengasas sebenar Kota Lukut.


Mercu Tanda Kota Lukut. Dapat dilihat dari jarak jauh

Selepas Raja Busu mati dibunuh oleh orang-orang Cina dan istana baginda dibakar dalam satu pergaduhan pada tahun 1845, peranan beliau di Lukut telah hilang begitu sahaja. Raja Juma’at lebih dikenali di Lukut kerana jasa baginda membina semula kota yang musnah dan memajukan Lukut sebagai pusat perdagangan yang mashyur pada ketika itu.

Raja Juma’at terkenal sebagai seorang pengusaha bijih timah terkaya di Lukut pada pertengahan abad ke-19. Malangnya setelah beliau meninggalkan dunia, puteranya Raja Bot gagal meneruskan kegemilangan Kota Lukut menyebabkan ianya mundur dan akhirnya ditinggalkan begitu sahaja. Raja Juma’at meninggal dunia dalam tahun 1864 dan disemadikan disuatu kawasan tidak jauh dari istananya di Bukit Gajah Mati (sekarang dinamakan Makam Diraja Lukut). Di sini juga bersemadinya kaum keluarga Raja Juma’at termasuklah permaisuru, bonda, dan putera-puterinya.
Di Lukut ini juga terletaknya Muzium Lukut. Muzium ini terletak kira-kira 12 km dari bandar Port Dickson, Negeri Sembilan dan 78 km dari Kuala Lumpur. Tujuan muzium ini dibina adalah untuk memelihara dan memulihara warisan sejarah negara.

Bahagian Hadapan Muzium Kota Lukut atau Muzium Lukut

Di samping itu, ia turut memaparkan sejarah Lukut dari kurun ke-19 hingga 1880-an  iaitu sehingga Lukut dimasukkan ke dalam daerah Sungai Ujong, Negeri Sembilan. Muzium ini dibuka dari jam 9:00 pagi hingga 6:00 petang setiap hari. Masuk adalah percuma. Muzium Lukut mempunyai beberapa galeri pameran antaranya Galeri Sejarah Lukut, Galeri Negeri Sembilan dan Galeri Teknologi Pembuatan Masyarakat Tradisional. Muzium ini dibina di Lukut kerana terdapat sebuah kota/kubu pertahanan yang penting satu ketika dahulu. 
Pintu masuk ke Kota Lukut di Puncak Bukit

Sebahagian tapak istana Kota Lukut yang masih tinggal
Perigi Sultan yang digunakan oleh orang-orang istana

Pelbagai artifak telah ditemui di sekitar kubu ini. Pelbagai koleksi dan tokoh terbabit dalam sejarah Lukut dijelmakan semula dalam bentuk illustrasi, gambar dan artifak. Kota ini menunjukkan bangsa Melayu mempunyai tamadun yang membanggakan. Muzium ini dibina untuk tatapan masyarakat tempatan, pelancong asing, pelajar dan penyelidik sejarah.

Wednesday, December 7, 2011

Sepetang di Ladang Anggur Sendayan, Negeri Sembilan

Dalam perjalanan pulang dari Melaka saya dan ahli keluarga saya yang lain mengambil kesempatan untuk melawat Ladang Anggur Sendayan. Ladang anggur Sendayan Valley terletak kira-kira 6 km dari Jalan Seremban-Port Dickson, 90 km dari Kuala Lumpur, 15 km dari Bandar Seremban dan hanya 20 km dari KLIA. Ini menjadikan Sendayan Valley sebagai ladang anggur paling dekat dengan bandar. Ladang anggur ini merupakan satu-satunya ladang anggur di Negeri Sembilan. Saya dapat tahu melalui adik ipar saya yang mewar-warkan kepada saya tentang keseronokan berada di ladang anggur.

Kelihatan buah anggur yang masih peringkat putik

Ini juga menurut teman-temannya yang telah berkunjung ke ladang ini. Maklumlah buah ini hanya hidup subur di iklim Mediterranean dan beriklim sejuk sahaja. So, agak unik juga dengan kemajuan teknologi R &D, negara kita mampu menghasilkan buah anggur tempatan.  Melihatkan kepada papan kenyataan di pejabat mereka, jelas menunjukkan ladang ini telah menjadi satu daya penarik kepada para pelancong, penyelidik, budak sekolah dan peminat buah-buahan untuk menikmati buah anggur yang kebiasaannya hanya ditanam di luar negara yang beriklim sejuk.

Kelihatan anak-anakku bermain-main di bawah
rimbunan pokok anggur lereng bukit

Ladang ini diusahakan oleh sebuah syarikat tempatan iaitu Syarikat A-WINN Global Market Services Sdn. Bhd. yang mendapat kerjasama Kerajaan Negeri Sembilan. Menurut penyedia di sini, terdapat 6,000 pokok anggur yang ditanam di atas  tanah seluas 10 hektar, iaitu anggur dari spesies jenis Black Pearl,  Black Opal, White Malaga dan Shiraz. Kesemua anggur yang dikeluarkan oleh ladang ini dijenamakan sebagai “Sendayan Valley” dan akan dipasarkan di pasaran tempatan. Selain daripada tanaman anggur sebagai tanaman utama, ladang tersebut juga menanam tanaman lain seperti buah nona, jambu, mata kucing, laici, sukun, ciku, belimbing besi, rambutan, dan mangga. Apa yang menarik di sini mereka menjual pokok anggur bonsai yang dijual antara RM300 hingga RM500 sepokok. Menarik bukan!


Pemandangan sekitar Sendayan Valley dari Ladang Anggur
yang sungguh menenangkan

Penyelia dan pekerja di sini sangat peramah. Kami diberi penerangan tentang cara-cara penanaman buah anggur dari peringkat semaian hingga cara mengutip hasil. Di akhir sesi, kami telah dihidangkan dengan buah-buahan yang telah ditanam di kawasan ini seperti  buah jambu batu (tanpa biji) dan pisang.

Penyelia ladang sedang memberi penerangan tentang
kaedah penanaman anggur kepada kami

Penyelia sedang memberi penerangan tentang pokok anggur

Wow! manis sungguh buah jambu batunya. Kami agak hampa kerna tidak dapat merasai pengalaman memetik buah anggur dan sekali gus merasai anggur tempatan. Ini kerana, menurut penyedia ladang, pada masa itu buah-buah anggur sedang mula berputik. Perlu tunggu kira-kira 3 - 5 bulan lagi untuk buah masak. Walau bagaimanapun kami berpuas hati apabila melihat putik-putik buah-buah anggur yang bergayut-gayutan. Bagi mereka yang berminat bolehlah ke ladang ini...tapi pastikan datang tepat pada waktunya..iaitu ketika buah sudah masak dan sesuai untuk dipetik dan dijamah...jangan lupa tu....!!!

Kelihatan ayah dan bondaku: Haji Harun Abd Jalil
dan Hajah Aizah Husin di sekitar laluan masuk ke ladang anggur
 Ini maklumat untuk anda semua kat luar sana, have a nice day....,

Waktu Perniagaan : Ladang dibuka setiap hari dari jam 8.00 pagi hingga 11.00 pagi dan 4.00 petang hingga 7.00 petang.
Bayaran :  RM 5.00 dewasa dan RM 3.00 bagi kanak-kanak (tertakluk kepada perubahan).

Maklumat Lanjut :- Ladang anggur “Sendayan Valley”
03-7877 8151