Tuesday, December 25, 2012

Teluk Nipah, Pulau Pangkor



Peta Pulau Pangkor

Kalau kita berkesempatan berkunjung ke Pulau Pangkor jangan lupa untuk berkunjung ke Pantai Teluk Nipah. Kawasan peranginan pinggir pantai kat sini mempunyai pemandangan yang cantik. Air lautnya berwarna hijau kebiru-biruan. Pasir pantainya putih bersih, panjang dan mengamit kedatangan pelancong tempatan dan luar negara berkunjung untuk mandi-manda di sini. Sepanjang jalan utama Teluk Nipah ni terdapat banyak gerai makan, gerai menjual pelbagai cenderahati, baju ‘T’ dan seluar bermuda. Teluk Nipah menawarkan banyak chalet yang bercirikan seni bina Melayu eksotik. Pakej-pakej yang ditawarkan temasuk pakej percutian (individu, pasangan, keluarga & kumpulan). Antara tempat penginapan yang terdapat sekitar Teluk Nipah ialah:
● Purnama Beach Resort
● Pangkor Bay View
● Flora Beach Resort
● Hornbill Resort
● Pangkor Indah Beach Resort
● Palma Beach Resort
● Havana Beach Resort
● Pangkor Inn Chalet
● Nipah Waterfront
● Horizon Inn
● Ombak Inn
Pelbagai aktiviti rekreasi serta sukan air yang menarik boleh dirasai pengalamannya apabila anda berkunjung ke dua buah pulau iaitu Pulau Mentangor dan Pulau Giam yang terletak bertentangan dengan Teluk Nipah. Untuk ke pulau ini anda bolehlah menyewa kayak atau bot laju dengan kadar sewa yang berpatutan. Perjalanan mengelilingi kedua-dua buah pulau ini adalah kira-kira 30 – 45 minit sahaja. Menurut pemandu bot, jika air laut surut, pelancongan boleh berjalan kaki ke pulau-pulau yang terdekat kerana terbentuknya beteng pasir yang panjang menghubungkan pantai Teluk Nipah dengan pulau tersebut. Di Pulau Giam, airnya yang hijau kebiru-biruan dan jernih membolehkan penggemar sukan air melakukan pelbagai aktiviti termasuk snorkeling  bagi melihat keindahan habitat batu karang, bermain jet ski, menunggang banana bot, berkayak, menikmati keindahan pantai dengan kapal layar. Apa yang istimewanya anda boleh lihat hidupan akuatik yang unik iaitu gamat. Menurut pemandu bot gamat di sini bukanlah daripada spesies yang boleh dijadikan ubatan alternatif seperti gamat di Pulau Langkawi.
Lebih istimewa, pengunjung akan lebih teruja apabila bot anda dikelilingi oleh pelbagai jenis ikan laut yang berwarna-warni serta jinak. Bagi kaki pancing pula jangan lepaskan peluang membuang umpan di kawasan pantai Pulau Mentangor. Ini kerana antara ikan yang paling senang dijinakkan di kawasan perairan pulau tersebut ialah ikan kerapu. Ikan-ikan ini seolah-olahnya telah biasa dengan kehadiran manusia ke habitat mereka. Sementara itu, bagi pengunjung yang meminati aktiviti yang lebih mencabar atau kepada pencinta flora dan fauna boleh meredah hutan dara Teluk Nipah serta menikmati keindahannya yang masih kekal terpelihara.




No comments:

Post a Comment