Wednesday, December 14, 2011

i-City, Shah Alam, City of Digital Light

Salah satu destinasi pelancongan bertemakan IT yang terkenal di Selangor ialah i-City di Seksyen 7, Shah Alam. Kami sekeluarga telah mengambil kesempatan pada cuti hujung minggu untuk menikmati keindahan i-City seperti mana yang diuar-uarkan oleh rakan-rakan tentang keindahan tempat ini terutamanya pada waktu malam. Untuk ke i-City kita boleh menggunakan laluan Lebuh Raya Persekutuan ke Shah Alam. Di sepanjang lebuh raya, anda akan melihat papan tanda menuju ke i-City. Apabila anda menghampiri Batu Tiga, ambil susur keluar ke tol Batu Tiga. Ikut laluan ini sehingga anda melihat stesen minyak pertama BHP di sebelah kiri. Pastikan anda tetap berada di sebelah kiri dan ikuti papan tanda ke i-City. Apabila kami menghampiri kawasan i-City, mata tertumpu kepada pokok-pokok di sepanjang jalan utama dan kawasan padang tempat letak kereta. i-City yang mempunyai keluasan kira-kira 28.8 hektar terkenal sebagai bandar lampu digital dan destinasi pelancongan di Malaysia yang menggunakan teknologi lampu LED canggih.


Suasana di dalam Snowalk
Oleh itulah, pada waktu malam  kawasan ini menjadi syurga lampu yang cukup indah dan tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Semua hiasan lampu yang memukau itu boleh dialami sendiri di CityWalk dan CityPark.CityWalk adalah kawasan pejalan kaki yang dijadikan pentas utama untuk pelawat menjalankan pelbagai aktiviti ketika berkunjung ke sana. Dimajukan oleh I-Berhad (I-Bhd), CityWalk dibangunkan dengan mengambil model daripada Clarke Quay, Singapura. Terdapat juga pusat beli-belah pejalan kaki sepanjang 400 meter yang diambil berasaskan model Universal CityWalk di Los Angeles, Amerika Syarikat.
Kelihatan anak-anakku dan anak buah bermain salji

Ia seakan-akan  menggambarkan suasana perarakan Mardi Gras dengan tarikan utama pertunjukan cahaya dan bunyi. Di samping itu, CityPark juga mempunyai daya tarikannya yang tersendiri. Di CityPark, pengunjung bebas menikmati keindahan malam yang diterangi lampu berwarna-warni itu. Di bahagian hujung CityPark, anda bagaikan berada di alam fantasi dengan ditemani pelbagai jenis haiwan yang bercahaya. Apa yang saya dapat lihat kanak-kanak paling teruja tatkala melihat haiwan kegemaran mereka seperti rusa, harimau dan bangau yang bercahaya terang benderang. i-City juga akan menjadi sebuah bandar berteknologi tinggi. i-City menempatkan ruang pejabat pusat siber canggih dengan pusat konvensyennya sendiri. Ia turut memiliki apartment, hotel dan pusat beli-belahi.

Kelihatan pokok-pokok yang dilipahi dengan lampu LED

Untuk merasai tinggal di kawasan kutub (Artik) kita boleh memasuki kawasan Snowalk. Kami mengambil kesempatan ini untuk merasai tinggal di kawasan kutub. Bayaran masuk adalah RM25 untuk dewasa dan RM20 untuk kanak-kanak. Kami dibekalkan dengan jaket panas. Malangnya, kami tidak memakai kasut yang sesuai dan juga sarung tangan kerana tidak bersedia pada mulanya. Paling malang perjalanan kami di Snowalk hanya sebentar sahaja kerana isteriku telah merasa kejang di kaki dan tambahan pula anakku telah kesejukan teramat sangat. Dalam keadaan cemas, kamipun bergegas mencari jalan keluar. Alhamdulillah akhirnya kami jumpa jalan keluar. Walau bagaimanapun, dalam Snowald terdapat iglu,ukiran ais, mainan skuter ais, gelongsor ais, patung ais, snowman dan pelbagai lagi aktiviti menarik. Anda di luar sana jangan lepaskan peluang ini untuk berkunjung ke Snowalk.

Jika mahu melihat hiasan lampu di i-City, kunjungi bandar cahaya itu, ia dibuka setiap hari dari jam 7.00 hingga 12.00 malam. Kita perlu membayar RM10.00 untuk bayaran tempat letak kereta. Bayaran ini lebih murah hari bekerja/sekolah. So, jangan lepaskan peluang untuk membawa ahli keluarga kita ke i-City untuk merasai suatu keseronokan yang lebih daripada biasa.
Untuk keterangan lanjut, hubungi i-City di talian 03-5521 8800 atau layari web http://icity.creativebugs.com.my/


No comments:

Post a Comment