Wednesday, January 18, 2012

Cari-cari Makan di Tanjung Kling, Melaka

Kalau anda ke Melaka jangan lupa ke Tanjung Kling. Terletak kira-kira 15 km dari pusat Bandar Melaka. Untuk mereka yang gemar mencari resepi baru apa kata kita makan tengah hari di sebuah gerai yang terletak di Tanjung Kling. Kami sempat makan tengah hari di sebuah gerai yang agak popular di sini, iaitu M M Medan Citarasa. Melihatkan kepada kenderaan yang berhenti di gerai ini sudah tentu gerai ini menyajikan makanan yang sedap dan menyelerakan.


Kedudukan gerai ikan bakar di Tanjung Kling

Gerai M M Medan Citarasa yang kami singgah untuk
makan tengah hari

Kalau anda dari pusat Bandar Melaka gunakan jalan raya yang mengarah ke Pantai Klebang..hanya beberapa kilometer dari  Pantai Klebang anda akan nampak Hotel Everly di sebelah kiri jalan. Ke hadapan sedikit di sebelah kiri , anda dapat lihat deretan gerai. Ha..di situlah terletak gerai tersebut. Pelbagai jenis makanan ala kampung disediakan di sini seperti gulai lemak daging bakar, masak asam pedas Melaka, masak lemak jantung pisang, kari ikan, ayam masak merah, sambal tumis udang dan macam-macam lagi. Ada juga ikan bakar dan ayam goreng kampung yang amat menyelerakan kalau dimakan pada waktu tengah hari. Jangan lupa ambil cencaluk atau sambal belacan yang kaw!!! untuk dimakan dengan ikan bakar. Servis kat sini memang bagus dan cepat. Tuan punya gerai amat peramah dan melayan pelanggan dengan mesra. Harganya pula memang berpatutan. Jom ….cuba jangan tak cuba…best…punya…
Kelihatan Puan Zaireen dan Hairuniza sedang memilih
lauk-pauk spesial yang disajikan

Ikan Bakar yang menjadi makanan popular
di restoran M M Medan Citarasa

Kuah Gulai Asam Pedas yang mempunyai rasa yang
 tersendiri...umpp sedap

Kelihatan ayahandaku, anakku,  isteriku, dan anak  saudaraku 
sedang sibuk mengelolakan hidangan tengah hari

Wednesday, January 11, 2012

Pertunjukkan Singa Laut dan Ikan Lumba-lumba di Pulau Melaka, Melaka

Bertempat di Pulau Melaka terdapat satu lagi daya tarikan baru yang pastinya disukai oleh kanak-kanak, iaitu pertunjukan singa laut dan ikan lumba-lumba. Pertunjukan ini telah julung-julung kali diadakan pada 26 November 2011 yang baru lalu. Bertempat di Wildlife Theatre Melaka terdapat konsep pentas terbuka dengan kolam di tengah-tengahnya.


Di Hadapan Wildlife Theatre Melaka

Pentas terbuka ini mampu memuatkan sebanyak 1 500 orang penonton pada setiap kali pertunjukan. Menurut pekerja di situ yang ditemui, pertunjukan memakan masa kira-kira 1 jam setengah. Pertunjukan tersebut membabitkan tiga ekor singa laut berusia lapan bulan yang berasal dari Amerika Selatan, iaitu  Jonny, Mary,  dan Ann. Selain itu, pengunjung juga disajikan dengan pertunjukan haiwan reptilia, burung dan persembahan kebudayaan Sabah dan Sarawak dikenali sebagai Wildlife Theatre Tribe.
Pertunjukan akan diadakan pada dua sesi setiap hari, iaitu pada pukul 3.00 petang dan 7.00 malam. Taman Sealion ini dikatakan mengikut konsep yang sama di Taman Lagoon di Singapura.
Harga tiket bagi kanak-kanak dan veteran adalah RM15.00 dan bagi dewasa RM20.00. Tiket-tiket boleh didapati di kaunter tiket di pintu masuk.


Kaunter Membeli Tiket, Kelihatan Senarai Harga Tiket

Pembayaran boleh secara tunai atau kad kredit (Visa atau Master). Walaupun sekitar kawasan ini masih dalam proses pembangunan penulis merasakan Taman Sealion ini mampu menarik ramai pengunjung dari dalam mahupun luar negara. Penulis merasakan promosi yang dilakukan  oleh kerajaan Melaka melalui pelbagai media mampu menarik para pelancong berkunjung ke Taman Sealion, Melaka.
Saya tidak lagi berkesempatan menyaksikan pertunjukan di sini memandangkan kesuntukan masa. Walau bagaimanapun saya sempat menangkap gambar Taman Sealion ini untuk tontonan umum.

 
Pemandangan Sekitar Jambatan Menghubungkan
Tanah Besar dan Pulau Melaka