Wednesday, December 26, 2012

Bukit Melawati, Kuala Selangor, Selangor




Mercu Tanda Bukit Melawati (Rumah Api Bukit Melawati)
  Dalam perjalanan anda sekeluarga ke Perak atau ke Kuala Lumpur atau Klang jangan lupa melepaskan peluang untuk melawat satu destinasi pelancongan bersejarah di Selangor, iaitu Bukit Melawati. Bukit ini terletak di Kuala Selangor, Selangor. Kedudukan Bukit Melawati agak strategik kerana terletak di kuala Sungai Selangor, menghadap Selat Melaka dan Pulau Sumatera, Indonesia. Bukit ini telah dinaiktaraf sejak kebelakangan ini menjadikan ia merupakan salah satu destinasi pelancongan yang popular bagi pelancong tempatan dan luar negara. Bukit bersejarah ini pernah dijadikan tempat bersemayam Sultan Selangor, iaitu sebelum Sultan Abdul Samad berpindah ke Bukit Jugra di Kuala Langat. Untuk ke puncak Bukit Melawati, pengunjung boleh menaiki kenderaan sendiri dari hari Isnin hingga Jumaat. Bagaimanapun, Sabtu, Ahad dan cuti umum, pengunjung perlu menaiki trem berdekatan masjid lama Kuala Selangor dengan harga RM2 (dewasa) dan RM1 (kanak-kanak).
Antara tempat-tempat menarik dan tapak sejarah yang anda boleh lawati termasuklah:

Bahagian atas Bukit Melawati:
● Rumah api
● Kubu lama
● Replika meriam lama
● Menara tinjau
● Makam Sultan dan kerabat diRaja Selangor
● Batu pancong
● Perigi/Telaga
● Muzium Sejarah Daerah Kuala Selangor

Kaki bukit dan sekitar Bukit Melawati:
● Bandar Kuala Selangor
● Masjid Kuala Selangor
● Taman Alam Kuala Selangor
● Pangkalan nelayan Permatang
● Jeti istirahat Kuala Selangor

Peta Pelancongan Bukit Melawati, Kuala Selangor, Selangor

Apa yang istimewa apabila anda berada di Bukit Melawati ini ialah panoramanya yang sejauh mata memandang di mana kelihatan terbentang luas perairan Selat Melaka. Dapat juga dilihat panorama bandar-bandar berdekatan seperti Tanjung Karang dan Sekinchan. Kelihatan juga taburan ladang kelapa sawit yang begitu luas dan kehijauan hutan paya bakau yang menjadi habitat hidupan liar seperti lotong, ketam, ular, memerang dan kelip-kelip. Hutan bakau ini juga adalah sebahagian daripada kira-kira 198 hektar Taman Semula Jadi Kuala Selangor tempat berkumpulnya lebih 160 spesies burung. Jangan lepaskan peluang untuk merasai pengalaman member makan kepada puluhan ekor monyet ´Silver-Leafed´ dan ´Macaques´yang berada di sekitar Bukit Melawati. Menurut salah seorang penduduk tempatan yang bekerja sebagai penjaja makanan monyet  ini berkata, monyet ini berasal dari hutan paya bakau berdekatan. Mereka akan naik ke puncak Bukit Melawati pada siang hari kerana telah menjadi rutin harian mereka untuk mendapatkan makanan seperti kacang, panjang, pisang atau roti daripada para pengunjung yang datang. Aksi sang monyet dan pengunjung yang dikerumuni kumpulan monyet memang mencuit hati. Ia merupakan satu pengalaman yang sukar dilupakan. Ini sekali gus menjadikan percutian anda sekeluarga ke Bukit Melawati lebih bermakna terutama kanak-kanak.
 


  
FAKTA SEJARAH:
Mengikut sejarah, Bukit Melawati dulunya kubu pertahanan Kesultanan Selangor untuk memantau pergerakan kapal dagang dan kapal perang yang melalui Selat Melaka dan Kuala Selangor.
Kota itu ditakluki Belanda pada 1784 selepas menewaskan Portugis dan memusnahkan kota lama dengan membina istana Eropah, Fort Altingberg sempena nama komander mereka, Gabenor Alting. Namun, kota itu musnah selepas tercetusnya Perang Saudara Selangor (1867-1873) dalam perebutan bijih timah. Seni bina Kubu Melawati wujud sejak era pemerintahan Sultan Ibrahim.



Pangkor Island Beach Resort, Pulau Pangkor


Papan Tanda Pangkor Island Beach Resort
 Percutian kami sekeluarga kali ini amatlah menyeronokkan. Kali ini kami bersempatan bercuti di salah satu destinisi percutian yang popular di Pulau Pangkor, iaitu Pangkor Island Beach Resort. Perjalanan dari Jeti Lumut ke Jeti resort di Pulau Pangkor mengambil masa kira-kira 40 minit. Sepanjang perjalanan pemandangan sungguh menakjubkan menyebabkan kami sekeluarga terutamanya budak kecil terasa sedikit teruja. Pastikan anda check-in terlebih dahulu di kaunter resort di Jeti Lumut sebelum menaiki feri khas yang akan membawa pengunjung hotel terus ke jeti resort. Setelah turun ke jeti, ada bas khas disediakan untuk pengunjung hotel yang akan membawa pengunjung terus ke lobi hotel. Untuk pengetahuan semua, dulu hotel ini dikenali sebagai Pan Pacific Hotel dan selepas diambil alih oleh pentadbiran baharu, hotel ini dinamai Pangkor Island Beach Resort.
Apa yang boleh saya katakan, bercuti selama 3 hari 2 malam di resort ini memang menyeronokkan kerana pantainya yang indah serta panorama alam sekelilingnya yang penuh dengan kehijauan dan sungguh tenang. Kadang-kala terasa tinggal di sebuah pulau yang dikelilingi dengan pelbagai spesies pokok hutan. Resort ini agak eksklusif sedikit kerana terletak jauh daripada orang ramai dan pantainya hanya dikhaskan kepada pengunjung resort sahaja. Memang menenangkan sekali bagi mereka yang ingin merehatkan minda setelah penat bekerja. Panorama pada waktu pagi yang segar, dingin dan mententeramkan serta pada sebelah petang dengan panorama matahari terbenam yang sungguh romantis sekali. Walau sesetengah bahagian resort ini agak usang, dengan dekorasi yang menarik dan dijagai rapi oleh pihak pentadbiran membuatkan perkhidmatan yang disediakan di resort ini agak memuaskan juga.
Antara perkhidmatan yang disediakan oleh pihak pengurusan hotel kepada pengunjung termasuklah:
● bar tepi kolam
● bilik mesyuarat
● restoran
● penjagaan bayi
● wi-fi di lobi
● dobi/cucian kering
● penjagaan bayi
● kedai runcit
● sewa motosikal dan basikal
island tour
● kelab kanak-kanak
● klinik
● kolam renang (dewasa dan kanak-kanak)
● pantai persendirian
● padang golf
● gelanggan tenis, bola tampar
● sukan air
● spa dan pusat kesihatan
● taman

Antara gambar-gambar menarik percutian yang sempat saya rakamkan sebagai kenangan dan makluman semua:

 


Tuesday, December 25, 2012

Teluk Nipah, Pulau Pangkor



Peta Pulau Pangkor

Kalau kita berkesempatan berkunjung ke Pulau Pangkor jangan lupa untuk berkunjung ke Pantai Teluk Nipah. Kawasan peranginan pinggir pantai kat sini mempunyai pemandangan yang cantik. Air lautnya berwarna hijau kebiru-biruan. Pasir pantainya putih bersih, panjang dan mengamit kedatangan pelancong tempatan dan luar negara berkunjung untuk mandi-manda di sini. Sepanjang jalan utama Teluk Nipah ni terdapat banyak gerai makan, gerai menjual pelbagai cenderahati, baju ‘T’ dan seluar bermuda. Teluk Nipah menawarkan banyak chalet yang bercirikan seni bina Melayu eksotik. Pakej-pakej yang ditawarkan temasuk pakej percutian (individu, pasangan, keluarga & kumpulan). Antara tempat penginapan yang terdapat sekitar Teluk Nipah ialah:
● Purnama Beach Resort
● Pangkor Bay View
● Flora Beach Resort
● Hornbill Resort
● Pangkor Indah Beach Resort
● Palma Beach Resort
● Havana Beach Resort
● Pangkor Inn Chalet
● Nipah Waterfront
● Horizon Inn
● Ombak Inn
Pelbagai aktiviti rekreasi serta sukan air yang menarik boleh dirasai pengalamannya apabila anda berkunjung ke dua buah pulau iaitu Pulau Mentangor dan Pulau Giam yang terletak bertentangan dengan Teluk Nipah. Untuk ke pulau ini anda bolehlah menyewa kayak atau bot laju dengan kadar sewa yang berpatutan. Perjalanan mengelilingi kedua-dua buah pulau ini adalah kira-kira 30 – 45 minit sahaja. Menurut pemandu bot, jika air laut surut, pelancongan boleh berjalan kaki ke pulau-pulau yang terdekat kerana terbentuknya beteng pasir yang panjang menghubungkan pantai Teluk Nipah dengan pulau tersebut. Di Pulau Giam, airnya yang hijau kebiru-biruan dan jernih membolehkan penggemar sukan air melakukan pelbagai aktiviti termasuk snorkeling  bagi melihat keindahan habitat batu karang, bermain jet ski, menunggang banana bot, berkayak, menikmati keindahan pantai dengan kapal layar. Apa yang istimewanya anda boleh lihat hidupan akuatik yang unik iaitu gamat. Menurut pemandu bot gamat di sini bukanlah daripada spesies yang boleh dijadikan ubatan alternatif seperti gamat di Pulau Langkawi.
Lebih istimewa, pengunjung akan lebih teruja apabila bot anda dikelilingi oleh pelbagai jenis ikan laut yang berwarna-warni serta jinak. Bagi kaki pancing pula jangan lepaskan peluang membuang umpan di kawasan pantai Pulau Mentangor. Ini kerana antara ikan yang paling senang dijinakkan di kawasan perairan pulau tersebut ialah ikan kerapu. Ikan-ikan ini seolah-olahnya telah biasa dengan kehadiran manusia ke habitat mereka. Sementara itu, bagi pengunjung yang meminati aktiviti yang lebih mencabar atau kepada pencinta flora dan fauna boleh meredah hutan dara Teluk Nipah serta menikmati keindahannya yang masih kekal terpelihara.




Sunday, October 7, 2012

Rumah Kutai di Kampung Teluk Sareh, Perak Tengah, Malaysia

Kampung Teluk Sareh yang terletak di daerah Perak Tengah merupakan antara kampung-kampung yang menyimpan seribu satu sejarah kerana telah wujud sebelum zaman pendudukan Jepun dan penjajah British di Tanah Melayu. Pekan yang terletak paling hampir dengan Kampung Teluk Sareh ialah Kampung Gajah (bahagian selatan) dan Pekan Bota (bahagian utara).Saya ingin membawa para pembaca mengimbas kembali ciri sosial budaya masyarakat Melayu dahulu kala dari aspek pembinaan rumah Melayu tradisional. Di sini, penulis ingin berkongsi pengalaman dan pengetahuan keunggulan seni bina Melayu rumah peninggalan arwah moyang saya, iaitu Hj. Ngah Samad dan isterinya Puteh Mansiah. Setelah pemergian mereka, rumah ini diwarisi oleh Hj. Hussin dan isterinya Hj. Rogayah. Mereka berdua merupakan nenda saya. Walaupun mereka telah pulang kepada penciptaNya, namun rumah yang menjadi warisan kami sekeluarga telah kami pelihara dengan baik. Ibu saya Puan Aizah paling banyak melibatkan diri dalam usaha memelihara dan memulihara warisan kebanggaan yang tidak ternilai ini. Ini bertepatan dengan wasiat arwah ibunya supaya tidak membiarkan rumah ini kosong tanpa berpenghuni dan dibiarkan begitu sahaja. Arwah berpesan supaya menceriakan rumah warisan ini agar menjadi kenangan abadi untuk generasi yang akan datang.


Almari Antik Tempat Menyimpan Barang Perhiasan dan
 Pinggan Mangkuk

Seni ukiran kayu di bahagian atas tingkat bermotifkan bunga-bungaan dan corak geometri.
Berfungsi sebagai lubang udara dan kemasukan cahaya matahari

Seni ukiran di bahagian atas dinding antara ruang tamu dan bilik

Seni ukiran di bahagian atas dinding dan pembahagi ruang.
Kelihatan kayu yang diukir dengan corak geometri dan dipaku secara selang seli 

Almari antik lama yang berusia lebih 70 tahun yang diperbuat
daripada kayu cengal. Berfungsi sebagai tempat menyimpan barang
 seperti pinggan mangkuk, periuk dan keperluan harian.


Almari antik lama

Kelihatan setiap ruang bahagian rumah di pisahkan dengan
pintu gerbang yang diukir dengan indah


Kelihatan selak pintu yang hanya dapat dibuka
oleh penghuninya sahaja dari dalam

Seni ukiran kayu yang terdapat di bahagian tepi pintu gerbang
 yang memisahkan setiap bahagian rumah

Kelihatan bahagian dinding dan tiang rumah yang juga memiliki
 seni ukiran yang halus. Pada masa dahulu, penghuni rumah sering
menggunakan bahagian dinding rumah untuk menggantung
koleksi foto mereka

Almari yang digunakan untuk menyimpan tudung saji
daripada saiz kecil hingga saiz besar
Katil antik keluaran British yang berusia lebih 70 tahun.
Diperbuat daripada kombinasi besi dan tembaga


Almari menyimpan pinggan mangkuk dan
pelbagai barangan memasak
Ciri istimewa yang masih kekal dalam rumah Kutai ini ialah tempat
menyimpan tikar atau permaidani yang diperbuat daripada buluh betong.
Terletak di atas loteng bumbung.
Berusia lebih 80 tahun.

Pemandangan dari bahagian kedua rumah menghala ke ruang tamu utama.
 Kelihatan daun tingkat yang cukup unik seni binanya

 
Bahagian dapur rumah Kutai
 
Kukur kelapa yang digunakan oleh masyarakat Melayu tradisional


Almari antik yang digunakan untuk menyimpan pelbagai jenis barangan



Bahagian dapur rumah Kutai


Bahagian sisi rumah Kutai
 
Bahagian sisi hadapan termasuk anjung rumah Kutai yang
masih dalam proses pemuliharaan
 
Bahagian hadapan rumah Kutai


Pemandangan rumah Kutai dan halaman bahagian hadapan rumah

Pandangan rumah Kutai dari jauh

Seni ukiran di bahagian anjung luar rumah Kutai

Pandangan sisi rumah Kutai


Monday, February 27, 2012

Bercuti di Bagan Lalang Beach Resort

Jika perlukan masa rehat yang berkonsepkan ala-ala kampung..mengapa tidak kita bercuti di sebuah kawasan percutian yang buget, iaitu di Bagan Lalang Beach Resort. Kawasan ini agak simple dengan dikelilingi dengan pokok-pokok yang menghijau. Amat seronok jika kita berada di kawasan resort ini seolah-olah berada di kawasan kampung. Jika ada berhajat untuk bercuti di resort ini, pastikan anda membuat tempahan lebih awal. Ini kerana memandangkan resort di kawasan sekitar pantai Bagan Lalang ini agak terhad, maka permintaan untuk resort-resort di sini begitu tinggi, khususnya pada musim cuti hujung minggu dan musim cuti sekolah. Kalau ada masa marilah berkunjung ke resort ini yang pastinya akan meninggalkan seribu satu kenangan indah.


Hareez dan Hafeey sedang bermain-main di hadapan rumah
sewaan kami

Bahagian Tepi Rumah Sewaan Kami


Restoran yang terdapat di Bagan Lalang Beach Resort
 (dibuka atas permintaan seperti seminar)

Halaman hadapan rumah sewaan kami yang kehijauan lagi
menenangkan. Kelihatan Hafeey

Bahagian dapur rumah sewaan kami

Pejabat Pentadbiran Bagan Lalang Beach Resort

Salah satu resort yang boleh anda tempat.
Sesuai untuk 2 -3 keluarga tinggal dalam satu rumah

Pemandangan sekitar kawasan Bagan Lalang Beach Resort
yang menghijau


Pintu masuk ke Bagan Lalang Beach Resort


Wednesday, February 1, 2012

Pengalaman Mencabar ke Kelong Bagan Lalang, Sepang, Selangor

Pada cuti Tahun Baharu Cina (2012) yang lalu saya dan keluarga adik saya berkesempatan mengunjungi Kelong Bagan Lalang. Kami menaiki bot kira-kira pukul 3.00 petang. Pemilik yang menyediakan perkhidmatan percutian ke Kelong dimiliki oleh empunya En. Nazri (Tel: 019-3438150). Pada awalnya, kami bercadang untuk ke Kelong pada sekitar 11.00 pagi, tetapi tidak kesampaian kerana menurut pemandu bot laju, air surat pada ketika itu. Air laut akan mulai pasang sekitar pukul 3.00 petang.

Papan Tanda Nazri Kelong

Papan Tanda Nazri Kelong serta pakej-pakej yang ditawarkan

  
Kelihatan pejabat pengurusan Nazri Kelong

Kelihatan ahli keluarga sedang memakai jaket keselamatan
sementara menunggu menaiki bot laju
Kami membayar sekitar RM200.00 untuk sewaan bot laju dan pakej perjalanan ke Kelong Bagan Lalang dan juga mengelilingi Golden Palm Tree Resort & Spa, Sepang. Sebelum menaiki menaiki bot laju, kami diberi sedikit penerangan ringkas. Kami dibekalkan dengan jaket keselamatan yang perlu dipakai sepanjang perjalanan kami menaiki bot laju. Bot laju yang kami naiki memuatkan seramai 10 orang penumpang semuanya. Percutian kami ini bertambah meriah dengan kehadiran keluarga En. Ahmad Hafidzi dan Nahariah Amin serta anak-anak mereka.

Kelihatan dalam gambar keluarga En. Ahmad Hafidzi
dan Nahariah Amin

Perjalanan dengan bot laju dari pangkalan nelayan berdekatan Kg. Bagan Lalang ke kelong mengambil masa sekitar 15 – 20 minit. Sepanjang perjalanan ke Kelong anak-anak saya dan anak buah saya kelihatan amat teruja dengan pengalaman baru yang mereka alami. Percikan air laut menyebabkan baju kami dibahasi dengan air laut. Setiba kami di kelong, kami berkesempatan untuk naik di atas Kelong dengan bantuan pemandu bot laju En. Man. Wah! Apabila berada sahaja di atas kelong seolah-olah berada di suatu tempat baru yang tidak pernah pernah kami kunjungi sebelum ini. Maklum sahajalah berada di tengah-tengah laut dengan gelombang ombak yang kuat membuatkan hati ini sedikit teruja.


Kelihatan En. Hafidzi, Hareez, Adli dan Hafeey begitu leka
menikmati panorama sekitar pesisiran laut Bagan Lalang

Kelihatan Hareez dan Nur Aisyah yang begitu teruja

Kelihatan Pn. Nahariah dan Adli begitu asyik melihat
pukulan ombak yang kuat

Percikan ombak  yang kuat  turut membasahi muka kami di dalam bot

Puan Zaireen sedang melayan kerenah anak bongsu yang
begitu teruja menaiki bot laju
 

Perjalanan bot yang menghampiri Kelong Bagan Lalang

Perjalanan balik meninggalkan kelong. Kelihatan Adli dan Hafeey


Perjalanan balik meninggalkan kelong

Menurut Man, ada dua sesi memancing di kelong (Siang dan malam). Satu sesi memancing biasanya sekitar 12 jam. Kadar caj adalah RM40.00 setiap seorang. Terserah kepada pemancing untuk membawa seberapa banyak peralatan memancing. Melihat sekitar kelong terdapat kemudahan bekalan air mentah, tandas, dapur dan peralatan memasak serta ruang rehat ala kadar. Para pemancing dibenarkan membawa sendiri bahan masakan untuk dimasak di atas kelong. Jika memancing pada waktu malam ada disediakan lampu daripada mesin janakuasa. Menurut pemilik, umpan boleh dibawa sendiri. Jika anda berminat untuk mendapatkan umpan  boleh terus menghubunginya. Antara jenis umpun yang disediakan ialah umpan pasir/sarang, sotong/udang/ikan dan sebagainya. Harganya pula amat berpatutan. Menurut Man, sebaiknya tempahan memancing ke Kelong Bagan Lalang hendak dibuat lebih awal. Ini kerana pada musim cuti dan cuti hujung minggu  kebiasaanya tempatan agak tinggi. Kadang-kala terpaksa ditutup kepada orang ramai sebab tempahan spesial. Hasil memancing sebelah malam lebih baik daripada siang bergantung kepada rezeki kita. Menurut Man, respon daripada pemancing lain, hasil pancingan Kelong Bagan Lalang adalah baik. Antara ikan yang dapat ditangkap di kelong ini ialah jenahak, gelama, pari, senangin, mandi abu dan sebagainya...

Kelihatan pemancing sedang berehat di bawah pondok
yang disediakan di atas Kelong Bagan Lalang

Kelihatan ahli keluarga sedang meronda-ronda di sekitar
Kelong Bagan Lalang

Kelihatan para pemancing dengan joran masing-masing

Penulis bersama isteri
 Setelah kami beredar dari Kelong kami telah dibawa oleh Man mengelilingi Golden Palm Tree Resort & Spa, Sepang. Hotel mewah mengenakan caj bilik antara RM500.00 hingga melebihi RM1,000 semalam. Menurut Man, harga bilik hotel paling mahal adalah yang terletak paling hujung sekali. Kami agak teruja kerana berkesempatan untuk melihat pelbagai jenis bilik hotel dari jarak dekat dari bot laju kami. Kelihatan atap bilik hotel diperbuat daripada daun-daun kering. Melihat keadaan ini seolah-seolah kita berada di Pulau Mauritius.
Kelihatan Golden Palm Tree Resort dari jauh

Kelihatan bilik-bilik resort ini dari jarak dekat

Bilik-bilik hotel yang ditawarkan

Bilik-bilik resort ini dari jarak dekat

Bilik hotel yang dikatakan menawarkan harga paling mahal

Kami tiba di pangkalan nelayan kira-kira pukul 4.30 petang. Dalam perjalanan pulang menyusuri sungai kelihatan pokok-pokok kayu bakau yang menghijau menyejukkan mata memandang. Kelihatan juga monyet bergayutan di celah-celah pohon bakau. Inilah merupakan pengalaman indah yang tidak dapat kami lupakan.


Jeti nelayan di Kampung Bagan Lalang

Bot laju yang sedang berlabuh di jeti

Persiapan untuk turun dari bot

 
Pokok paya bakau yang memukau mata memandang