Monday, December 9, 2013

KAMPUNG MORTEN, BANDAR RAYA MELAKA

Kampung Morten yang terletak di tengah-tengah Bandar Raya Melaka merupakan satu-satunya warisan perkampungan Melayu yang masih kekal wujud di Bandar Melaka. Kampung ini dianggap sebagai muzium hidup memandangkan ramai penduduknya masih mengamalkan cara hidup yang tidak banyak berubah. Selain itu, penduduk di sini mempunyai jati diri yang unggul. Penduduk di sini banyak mempamerkan keunikan reka bentuk  rumah mereka berasaskan rumah tradisional Melayu Melaka. Kampung ini mendapat nama sempena nama J. F. Morten seorang Pesuruhjaya Tanah apabila suruhanjaya tersebut ditubuhkan pada awal 1920-an. Morten telah memainkan peranan penting untuk membina perkampungan ini, yang dahulunya hanya merupakan sebuah kawasan paya. Perkampungan ini telah digazetkan oleh Kerajaan Melaka sebagai salah satu tapak warisan yang perlu dikekalkan bagi tontonan generasi akan datang. Penulis telah berkesempatan melawat ke kawasan perkampungan ini dan memang ternyata perkampungan amat unik. Kalau ke Melaka jangan lepaskan peluang untuk melawat ke Kampung Morten. Pengalaman berada di Kampung Morten menang tidak terdapat di mana-mana kampung di Malaysia. Penulis ingin berkongsi pengalaman sewaktu penulis dan keluarga berada di situ melalui gambar-gambar yang sempat penulis rakamkan:
  
Papan tanda di hadapan Villa Sentosa
 
Koleksi Barangan Antik Melayu Tradisional

Koleksi Barangan Antik Melayu Tradisional

Pemain Piring Hitam Zaman 60-an yang masih disimpan

Sebahagian daripada ruang di dalam rumah yang
dihiasi barangan antik

Penulis bersama anak dan isteri di dalam bilik pengantin Melayu
tradisional

Suasana dalam kamar pengantin Melayu tradisional
 
Penulis bersama-sama dengan ahli keluarga yang lain
 


Pelamin tempat persandingan pengantin sejoli


Pemandangan di ruang tamu rumah tradisional
Melayu Melaka

Bahagian serambi yang sentiasa menanti kehadiran
pengunjung
 
Almari antik tempat menyimpan baju dan alat-alat solek



Ruang di antara bahagian tengah dan bahagian dapur

Suasana ruang antara bahagian tengah dan dapur

Gong lama yang warisi sejak berzaman dan dikatakan
mempunyai misterinya yang tersendiri...ingin tahu berkunjung
ke teratak ini

Kelihatan Hj. Harun (ayah), Hjh. Aizah dan Puan Zaireen (Isteri)
sedang asyik mendengar sesuatu daripada pewaris 
Villa Sentosa yang sungguh ramah dan mesra

Koleksi gambar-gambar lama pewaris Villa Sentosa

Kamar tidur yang dihias indah dengan cita rasa Melayu
tradisional

Bahagian tangga (sisi rumah) sebelum melangkah masuk ke
dalam rumah

Bahagian hadapan Villa Sentosa
 
Nama jambatan yang diberi nama sempena Kg. Morten
  
Antara rumah tradisonal Melayu Melaka yang kelihatan di
Kg. Morten

Antara rumah tradisional Melayu Melaka yang dibaik pulih
 

Antara rumah tradisional Melayu Melaka yang menarik
di Kg. Morten

Antara Perabut Antik tempat menyimpan barang

Sudut gambar

Bahagian dapur yang dihiasi dan kelihatan unik

Villa Sentosa sentiasa mengamit kedatangan para pelancongan
yang menghargai warisan sesuatu bangsa
 


Tuesday, March 12, 2013

LENGGONG (PERAK) – PENYIMPAN WARISAN SEJARAH SILAM

Kita sebagai rakyat Malaysia harus berasa bangga kerana negara kita dianugerahkan dengan banyak tempat menarik untuk dikunjungi oleh para pelancong. Salah satu tempat yang menarik di Perak yang perlu anda kunjungi ialah bandar Lenggong di negeri Perak. Lenggong adalah sebuah bandar yang terletak di utara negeri Perak. Bandar ini terletak 100 kilometer dari utara bandar raya Ipoh.

Bandar Lenggong boleh dikunjungi melalui jalan utama yang menghubungkannya dengan bandar berdekatan. Sepanjang perjalanan menuju ke bandar Lenggong, di kiri-kanan jalan kebanyakannya terdapat pemandangan ladang sawit, hutan rimba dan kawasan tanah tinggi batu kapur yang sungguh memikat. Suasana yang sungguh sejuk dan nyaman juga terasa jika anda berkesempatan melalui jalan utama ke Lenggong terutamanya pada waktu pagi.
Sesuatu yang paling teruja bila kita ke bandar Lenggong adalah untuk menyaksikan sendiri perkembangan tamadun awal manusia yang bermula di Lembah Lenggong. Tahukah anda Lembah Lenggong merupakan tapak arkeologikal yang terkenal di Malaysia? Di sini wujudnya bukti-bukti penempatan manusia sejak zaman Paleolitik lagi seperti Kota Tampan, Bukit Jawa di Kampung Gelok dan Kampung Temelong. Penemuan arkeologikal paling terkenal di Lenggong ialah Orang Perak (Perak Man). Melalui ujian radiokarbon, rangka ini merupakan peninggalan arkeologi berusia 11,000 tahun yang ditemui pada 1990.
Para pengunjung jangan lepaskan peluang singgah ke Muzium Arkeologi Lenggong di Kota Tampan. Di sini dipamerkan semua artifak yang digali dari kawasan sekitar. Muzium itu terletak dalam lingkungan satu ladang kelapa sawit di jalan dari Kuala Kangsar ke Gerik (atau Grik).
Kita makluman kita semua, pada 2 Julai 2012, UNESCO telah mewartakan Warisan Arkeologi Lembah Lenggong sebagai salah satu daripada Tapak Warisan Dunia UNESCO. Warta pemasyhuran telah dikeluarkan oleh Jawatankuasa Warisan Dunia UNESCO.
Rasa tidak lengkap jika kita tidak bermalam di bandar Lenggong kerana banyak tempat-tempat menarik bertemakan alam sekitar yang boleh kita kunjungi. Antara tempat penginapan yang popular di Lenggong termasuklah Homestay Kampung Beng, Resort Tasik Raban, dan Rumah Rehat Lenggong.
Tempat-tempat menarik yang boleh anda sekeluarga kunjungi termasuklah Kawasan Rekreasi Gua Tok Giring, Tasik Raban, dan Lata Kekabu.
Antara kawasan arkeologi zaman pra-sejarah yang boleh anda sekeluarga kunjungi termasuklah Gua Teluk Kelawar, Gua Harimau, Gua Ngaum, Gua Puteri, Gua Asar, Gua Badak, Gua Kajang, Bukit Jawa, Bukit Sapi, dan Gua Gunung Runtuh.
Di bandar Lenggong juga terdapat pelbagai aktiviti lasak serta mencabar yang boleh kita ceburi termasuklah aktiviti meredah hutan (jungle tracking), cembara gua (caving, aktiviti menyusur Sungai Perak, aktiviti rekreasi dan aktiviti tasik. Sambil menjalankan aktiviti tersebut anda akan teruja dengan panorama alam sekitarnya yang sungguh indah dan menawan.
Em...apa yang lebih istimewa ialah tentang makanannya di mana bandar Lenggong masyhur kerana hidangan ikan air tawarnya. Makanan istimewa tempatan adalah pekasam, iaitu ikan yang diperap bersama garam dan beras bakar, dan biasanya diperam dalam tempayan selama dua minggu.

Ok apa kata kita pergi Restoran Tasik Raban yang popular dengan masakan kampung dan ikan sungai. Tak susah nak cari kedai ni, jika dari arah Gerik, menuju ke Lenggong, nampak je simpang masuk ke Muzium Arkeologi, maknanya anda dah dekatlah tu. Pergi terus dan kedai ni betul-betul tepi jalan, iaitu sebelah kiri jalan, nampak "signboard' besar bertulis 'RESTORAN TASIK RABAN'. Cubalah makanan kat situ memang sedap...tambahan pula kalau perut lapar...pasti kow...


Muzium Arkeologi Lenggong yang menyimpan pelbagi kisah
silam kota Lenggong pada zaman dahulu


Restoran Tasik Raban yang pastinya menjanjikan juadah yang
 istimewa dan lazat


Pemandangan Tasik Raban Resort dari jauh


Jambatan Raja Nazrin yang merintangi Tasik Raban


Wednesday, December 26, 2012

Bukit Melawati, Kuala Selangor, Selangor




Mercu Tanda Bukit Melawati (Rumah Api Bukit Melawati)
  Dalam perjalanan anda sekeluarga ke Perak atau ke Kuala Lumpur atau Klang jangan lupa melepaskan peluang untuk melawat satu destinasi pelancongan bersejarah di Selangor, iaitu Bukit Melawati. Bukit ini terletak di Kuala Selangor, Selangor. Kedudukan Bukit Melawati agak strategik kerana terletak di kuala Sungai Selangor, menghadap Selat Melaka dan Pulau Sumatera, Indonesia. Bukit ini telah dinaiktaraf sejak kebelakangan ini menjadikan ia merupakan salah satu destinasi pelancongan yang popular bagi pelancong tempatan dan luar negara. Bukit bersejarah ini pernah dijadikan tempat bersemayam Sultan Selangor, iaitu sebelum Sultan Abdul Samad berpindah ke Bukit Jugra di Kuala Langat. Untuk ke puncak Bukit Melawati, pengunjung boleh menaiki kenderaan sendiri dari hari Isnin hingga Jumaat. Bagaimanapun, Sabtu, Ahad dan cuti umum, pengunjung perlu menaiki trem berdekatan masjid lama Kuala Selangor dengan harga RM2 (dewasa) dan RM1 (kanak-kanak).
Antara tempat-tempat menarik dan tapak sejarah yang anda boleh lawati termasuklah:

Bahagian atas Bukit Melawati:
● Rumah api
● Kubu lama
● Replika meriam lama
● Menara tinjau
● Makam Sultan dan kerabat diRaja Selangor
● Batu pancong
● Perigi/Telaga
● Muzium Sejarah Daerah Kuala Selangor

Kaki bukit dan sekitar Bukit Melawati:
● Bandar Kuala Selangor
● Masjid Kuala Selangor
● Taman Alam Kuala Selangor
● Pangkalan nelayan Permatang
● Jeti istirahat Kuala Selangor

Peta Pelancongan Bukit Melawati, Kuala Selangor, Selangor

Apa yang istimewa apabila anda berada di Bukit Melawati ini ialah panoramanya yang sejauh mata memandang di mana kelihatan terbentang luas perairan Selat Melaka. Dapat juga dilihat panorama bandar-bandar berdekatan seperti Tanjung Karang dan Sekinchan. Kelihatan juga taburan ladang kelapa sawit yang begitu luas dan kehijauan hutan paya bakau yang menjadi habitat hidupan liar seperti lotong, ketam, ular, memerang dan kelip-kelip. Hutan bakau ini juga adalah sebahagian daripada kira-kira 198 hektar Taman Semula Jadi Kuala Selangor tempat berkumpulnya lebih 160 spesies burung. Jangan lepaskan peluang untuk merasai pengalaman member makan kepada puluhan ekor monyet ´Silver-Leafed´ dan ´Macaques´yang berada di sekitar Bukit Melawati. Menurut salah seorang penduduk tempatan yang bekerja sebagai penjaja makanan monyet  ini berkata, monyet ini berasal dari hutan paya bakau berdekatan. Mereka akan naik ke puncak Bukit Melawati pada siang hari kerana telah menjadi rutin harian mereka untuk mendapatkan makanan seperti kacang, panjang, pisang atau roti daripada para pengunjung yang datang. Aksi sang monyet dan pengunjung yang dikerumuni kumpulan monyet memang mencuit hati. Ia merupakan satu pengalaman yang sukar dilupakan. Ini sekali gus menjadikan percutian anda sekeluarga ke Bukit Melawati lebih bermakna terutama kanak-kanak.
 


  
FAKTA SEJARAH:
Mengikut sejarah, Bukit Melawati dulunya kubu pertahanan Kesultanan Selangor untuk memantau pergerakan kapal dagang dan kapal perang yang melalui Selat Melaka dan Kuala Selangor.
Kota itu ditakluki Belanda pada 1784 selepas menewaskan Portugis dan memusnahkan kota lama dengan membina istana Eropah, Fort Altingberg sempena nama komander mereka, Gabenor Alting. Namun, kota itu musnah selepas tercetusnya Perang Saudara Selangor (1867-1873) dalam perebutan bijih timah. Seni bina Kubu Melawati wujud sejak era pemerintahan Sultan Ibrahim.



Pangkor Island Beach Resort, Pulau Pangkor


Papan Tanda Pangkor Island Beach Resort
 Percutian kami sekeluarga kali ini amatlah menyeronokkan. Kali ini kami bersempatan bercuti di salah satu destinisi percutian yang popular di Pulau Pangkor, iaitu Pangkor Island Beach Resort. Perjalanan dari Jeti Lumut ke Jeti resort di Pulau Pangkor mengambil masa kira-kira 40 minit. Sepanjang perjalanan pemandangan sungguh menakjubkan menyebabkan kami sekeluarga terutamanya budak kecil terasa sedikit teruja. Pastikan anda check-in terlebih dahulu di kaunter resort di Jeti Lumut sebelum menaiki feri khas yang akan membawa pengunjung hotel terus ke jeti resort. Setelah turun ke jeti, ada bas khas disediakan untuk pengunjung hotel yang akan membawa pengunjung terus ke lobi hotel. Untuk pengetahuan semua, dulu hotel ini dikenali sebagai Pan Pacific Hotel dan selepas diambil alih oleh pentadbiran baharu, hotel ini dinamai Pangkor Island Beach Resort.
Apa yang boleh saya katakan, bercuti selama 3 hari 2 malam di resort ini memang menyeronokkan kerana pantainya yang indah serta panorama alam sekelilingnya yang penuh dengan kehijauan dan sungguh tenang. Kadang-kala terasa tinggal di sebuah pulau yang dikelilingi dengan pelbagai spesies pokok hutan. Resort ini agak eksklusif sedikit kerana terletak jauh daripada orang ramai dan pantainya hanya dikhaskan kepada pengunjung resort sahaja. Memang menenangkan sekali bagi mereka yang ingin merehatkan minda setelah penat bekerja. Panorama pada waktu pagi yang segar, dingin dan mententeramkan serta pada sebelah petang dengan panorama matahari terbenam yang sungguh romantis sekali. Walau sesetengah bahagian resort ini agak usang, dengan dekorasi yang menarik dan dijagai rapi oleh pihak pentadbiran membuatkan perkhidmatan yang disediakan di resort ini agak memuaskan juga.
Antara perkhidmatan yang disediakan oleh pihak pengurusan hotel kepada pengunjung termasuklah:
● bar tepi kolam
● bilik mesyuarat
● restoran
● penjagaan bayi
● wi-fi di lobi
● dobi/cucian kering
● penjagaan bayi
● kedai runcit
● sewa motosikal dan basikal
island tour
● kelab kanak-kanak
● klinik
● kolam renang (dewasa dan kanak-kanak)
● pantai persendirian
● padang golf
● gelanggan tenis, bola tampar
● sukan air
● spa dan pusat kesihatan
● taman

Antara gambar-gambar menarik percutian yang sempat saya rakamkan sebagai kenangan dan makluman semua:

 


Tuesday, December 25, 2012

Teluk Nipah, Pulau Pangkor



Peta Pulau Pangkor

Kalau kita berkesempatan berkunjung ke Pulau Pangkor jangan lupa untuk berkunjung ke Pantai Teluk Nipah. Kawasan peranginan pinggir pantai kat sini mempunyai pemandangan yang cantik. Air lautnya berwarna hijau kebiru-biruan. Pasir pantainya putih bersih, panjang dan mengamit kedatangan pelancong tempatan dan luar negara berkunjung untuk mandi-manda di sini. Sepanjang jalan utama Teluk Nipah ni terdapat banyak gerai makan, gerai menjual pelbagai cenderahati, baju ‘T’ dan seluar bermuda. Teluk Nipah menawarkan banyak chalet yang bercirikan seni bina Melayu eksotik. Pakej-pakej yang ditawarkan temasuk pakej percutian (individu, pasangan, keluarga & kumpulan). Antara tempat penginapan yang terdapat sekitar Teluk Nipah ialah:
● Purnama Beach Resort
● Pangkor Bay View
● Flora Beach Resort
● Hornbill Resort
● Pangkor Indah Beach Resort
● Palma Beach Resort
● Havana Beach Resort
● Pangkor Inn Chalet
● Nipah Waterfront
● Horizon Inn
● Ombak Inn
Pelbagai aktiviti rekreasi serta sukan air yang menarik boleh dirasai pengalamannya apabila anda berkunjung ke dua buah pulau iaitu Pulau Mentangor dan Pulau Giam yang terletak bertentangan dengan Teluk Nipah. Untuk ke pulau ini anda bolehlah menyewa kayak atau bot laju dengan kadar sewa yang berpatutan. Perjalanan mengelilingi kedua-dua buah pulau ini adalah kira-kira 30 – 45 minit sahaja. Menurut pemandu bot, jika air laut surut, pelancongan boleh berjalan kaki ke pulau-pulau yang terdekat kerana terbentuknya beteng pasir yang panjang menghubungkan pantai Teluk Nipah dengan pulau tersebut. Di Pulau Giam, airnya yang hijau kebiru-biruan dan jernih membolehkan penggemar sukan air melakukan pelbagai aktiviti termasuk snorkeling  bagi melihat keindahan habitat batu karang, bermain jet ski, menunggang banana bot, berkayak, menikmati keindahan pantai dengan kapal layar. Apa yang istimewanya anda boleh lihat hidupan akuatik yang unik iaitu gamat. Menurut pemandu bot gamat di sini bukanlah daripada spesies yang boleh dijadikan ubatan alternatif seperti gamat di Pulau Langkawi.
Lebih istimewa, pengunjung akan lebih teruja apabila bot anda dikelilingi oleh pelbagai jenis ikan laut yang berwarna-warni serta jinak. Bagi kaki pancing pula jangan lepaskan peluang membuang umpan di kawasan pantai Pulau Mentangor. Ini kerana antara ikan yang paling senang dijinakkan di kawasan perairan pulau tersebut ialah ikan kerapu. Ikan-ikan ini seolah-olahnya telah biasa dengan kehadiran manusia ke habitat mereka. Sementara itu, bagi pengunjung yang meminati aktiviti yang lebih mencabar atau kepada pencinta flora dan fauna boleh meredah hutan dara Teluk Nipah serta menikmati keindahannya yang masih kekal terpelihara.




Sunday, October 7, 2012

Rumah Kutai di Kampung Teluk Sareh, Perak Tengah, Malaysia

Kampung Teluk Sareh yang terletak di daerah Perak Tengah merupakan antara kampung-kampung yang menyimpan seribu satu sejarah kerana telah wujud sebelum zaman pendudukan Jepun dan penjajah British di Tanah Melayu. Pekan yang terletak paling hampir dengan Kampung Teluk Sareh ialah Kampung Gajah (bahagian selatan) dan Pekan Bota (bahagian utara).Saya ingin membawa para pembaca mengimbas kembali ciri sosial budaya masyarakat Melayu dahulu kala dari aspek pembinaan rumah Melayu tradisional. Di sini, penulis ingin berkongsi pengalaman dan pengetahuan keunggulan seni bina Melayu rumah peninggalan arwah moyang saya, iaitu Hj. Ngah Samad dan isterinya Puteh Mansiah. Setelah pemergian mereka, rumah ini diwarisi oleh Hj. Hussin dan isterinya Hj. Rogayah. Mereka berdua merupakan nenda saya. Walaupun mereka telah pulang kepada penciptaNya, namun rumah yang menjadi warisan kami sekeluarga telah kami pelihara dengan baik. Ibu saya Puan Aizah paling banyak melibatkan diri dalam usaha memelihara dan memulihara warisan kebanggaan yang tidak ternilai ini. Ini bertepatan dengan wasiat arwah ibunya supaya tidak membiarkan rumah ini kosong tanpa berpenghuni dan dibiarkan begitu sahaja. Arwah berpesan supaya menceriakan rumah warisan ini agar menjadi kenangan abadi untuk generasi yang akan datang.


Almari Antik Tempat Menyimpan Barang Perhiasan dan
 Pinggan Mangkuk

Seni ukiran kayu di bahagian atas tingkat bermotifkan bunga-bungaan dan corak geometri.
Berfungsi sebagai lubang udara dan kemasukan cahaya matahari

Seni ukiran di bahagian atas dinding antara ruang tamu dan bilik

Seni ukiran di bahagian atas dinding dan pembahagi ruang.
Kelihatan kayu yang diukir dengan corak geometri dan dipaku secara selang seli 

Almari antik lama yang berusia lebih 70 tahun yang diperbuat
daripada kayu cengal. Berfungsi sebagai tempat menyimpan barang
 seperti pinggan mangkuk, periuk dan keperluan harian.


Almari antik lama

Kelihatan setiap ruang bahagian rumah di pisahkan dengan
pintu gerbang yang diukir dengan indah


Kelihatan selak pintu yang hanya dapat dibuka
oleh penghuninya sahaja dari dalam

Seni ukiran kayu yang terdapat di bahagian tepi pintu gerbang
 yang memisahkan setiap bahagian rumah

Kelihatan bahagian dinding dan tiang rumah yang juga memiliki
 seni ukiran yang halus. Pada masa dahulu, penghuni rumah sering
menggunakan bahagian dinding rumah untuk menggantung
koleksi foto mereka

Almari yang digunakan untuk menyimpan tudung saji
daripada saiz kecil hingga saiz besar
Katil antik keluaran British yang berusia lebih 70 tahun.
Diperbuat daripada kombinasi besi dan tembaga


Almari menyimpan pinggan mangkuk dan
pelbagai barangan memasak
Ciri istimewa yang masih kekal dalam rumah Kutai ini ialah tempat
menyimpan tikar atau permaidani yang diperbuat daripada buluh betong.
Terletak di atas loteng bumbung.
Berusia lebih 80 tahun.

Pemandangan dari bahagian kedua rumah menghala ke ruang tamu utama.
 Kelihatan daun tingkat yang cukup unik seni binanya

 
Bahagian dapur rumah Kutai
 
Kukur kelapa yang digunakan oleh masyarakat Melayu tradisional


Almari antik yang digunakan untuk menyimpan pelbagai jenis barangan



Bahagian dapur rumah Kutai


Bahagian sisi rumah Kutai
 
Bahagian sisi hadapan termasuk anjung rumah Kutai yang
masih dalam proses pemuliharaan
 
Bahagian hadapan rumah Kutai


Pemandangan rumah Kutai dan halaman bahagian hadapan rumah

Pandangan rumah Kutai dari jauh

Seni ukiran di bahagian anjung luar rumah Kutai

Pandangan sisi rumah Kutai