Monday, February 27, 2012

Bercuti di Bagan Lalang Beach Resort

Jika perlukan masa rehat yang berkonsepkan ala-ala kampung..mengapa tidak kita bercuti di sebuah kawasan percutian yang buget, iaitu di Bagan Lalang Beach Resort. Kawasan ini agak simple dengan dikelilingi dengan pokok-pokok yang menghijau. Amat seronok jika kita berada di kawasan resort ini seolah-olah berada di kawasan kampung. Jika ada berhajat untuk bercuti di resort ini, pastikan anda membuat tempahan lebih awal. Ini kerana memandangkan resort di kawasan sekitar pantai Bagan Lalang ini agak terhad, maka permintaan untuk resort-resort di sini begitu tinggi, khususnya pada musim cuti hujung minggu dan musim cuti sekolah. Kalau ada masa marilah berkunjung ke resort ini yang pastinya akan meninggalkan seribu satu kenangan indah.


Hareez dan Hafeey sedang bermain-main di hadapan rumah
sewaan kami

Bahagian Tepi Rumah Sewaan Kami


Restoran yang terdapat di Bagan Lalang Beach Resort
 (dibuka atas permintaan seperti seminar)

Halaman hadapan rumah sewaan kami yang kehijauan lagi
menenangkan. Kelihatan Hafeey

Bahagian dapur rumah sewaan kami

Pejabat Pentadbiran Bagan Lalang Beach Resort

Salah satu resort yang boleh anda tempat.
Sesuai untuk 2 -3 keluarga tinggal dalam satu rumah

Pemandangan sekitar kawasan Bagan Lalang Beach Resort
yang menghijau


Pintu masuk ke Bagan Lalang Beach Resort


Wednesday, February 1, 2012

Pengalaman Mencabar ke Kelong Bagan Lalang, Sepang, Selangor

Pada cuti Tahun Baharu Cina (2012) yang lalu saya dan keluarga adik saya berkesempatan mengunjungi Kelong Bagan Lalang. Kami menaiki bot kira-kira pukul 3.00 petang. Pemilik yang menyediakan perkhidmatan percutian ke Kelong dimiliki oleh empunya En. Nazri (Tel: 019-3438150). Pada awalnya, kami bercadang untuk ke Kelong pada sekitar 11.00 pagi, tetapi tidak kesampaian kerana menurut pemandu bot laju, air surat pada ketika itu. Air laut akan mulai pasang sekitar pukul 3.00 petang.

Papan Tanda Nazri Kelong

Papan Tanda Nazri Kelong serta pakej-pakej yang ditawarkan

  
Kelihatan pejabat pengurusan Nazri Kelong

Kelihatan ahli keluarga sedang memakai jaket keselamatan
sementara menunggu menaiki bot laju
Kami membayar sekitar RM200.00 untuk sewaan bot laju dan pakej perjalanan ke Kelong Bagan Lalang dan juga mengelilingi Golden Palm Tree Resort & Spa, Sepang. Sebelum menaiki menaiki bot laju, kami diberi sedikit penerangan ringkas. Kami dibekalkan dengan jaket keselamatan yang perlu dipakai sepanjang perjalanan kami menaiki bot laju. Bot laju yang kami naiki memuatkan seramai 10 orang penumpang semuanya. Percutian kami ini bertambah meriah dengan kehadiran keluarga En. Ahmad Hafidzi dan Nahariah Amin serta anak-anak mereka.

Kelihatan dalam gambar keluarga En. Ahmad Hafidzi
dan Nahariah Amin

Perjalanan dengan bot laju dari pangkalan nelayan berdekatan Kg. Bagan Lalang ke kelong mengambil masa sekitar 15 – 20 minit. Sepanjang perjalanan ke Kelong anak-anak saya dan anak buah saya kelihatan amat teruja dengan pengalaman baru yang mereka alami. Percikan air laut menyebabkan baju kami dibahasi dengan air laut. Setiba kami di kelong, kami berkesempatan untuk naik di atas Kelong dengan bantuan pemandu bot laju En. Man. Wah! Apabila berada sahaja di atas kelong seolah-olah berada di suatu tempat baru yang tidak pernah pernah kami kunjungi sebelum ini. Maklum sahajalah berada di tengah-tengah laut dengan gelombang ombak yang kuat membuatkan hati ini sedikit teruja.


Kelihatan En. Hafidzi, Hareez, Adli dan Hafeey begitu leka
menikmati panorama sekitar pesisiran laut Bagan Lalang

Kelihatan Hareez dan Nur Aisyah yang begitu teruja

Kelihatan Pn. Nahariah dan Adli begitu asyik melihat
pukulan ombak yang kuat

Percikan ombak  yang kuat  turut membasahi muka kami di dalam bot

Puan Zaireen sedang melayan kerenah anak bongsu yang
begitu teruja menaiki bot laju
 

Perjalanan bot yang menghampiri Kelong Bagan Lalang

Perjalanan balik meninggalkan kelong. Kelihatan Adli dan Hafeey


Perjalanan balik meninggalkan kelong

Menurut Man, ada dua sesi memancing di kelong (Siang dan malam). Satu sesi memancing biasanya sekitar 12 jam. Kadar caj adalah RM40.00 setiap seorang. Terserah kepada pemancing untuk membawa seberapa banyak peralatan memancing. Melihat sekitar kelong terdapat kemudahan bekalan air mentah, tandas, dapur dan peralatan memasak serta ruang rehat ala kadar. Para pemancing dibenarkan membawa sendiri bahan masakan untuk dimasak di atas kelong. Jika memancing pada waktu malam ada disediakan lampu daripada mesin janakuasa. Menurut pemilik, umpan boleh dibawa sendiri. Jika anda berminat untuk mendapatkan umpan  boleh terus menghubunginya. Antara jenis umpun yang disediakan ialah umpan pasir/sarang, sotong/udang/ikan dan sebagainya. Harganya pula amat berpatutan. Menurut Man, sebaiknya tempahan memancing ke Kelong Bagan Lalang hendak dibuat lebih awal. Ini kerana pada musim cuti dan cuti hujung minggu  kebiasaanya tempatan agak tinggi. Kadang-kala terpaksa ditutup kepada orang ramai sebab tempahan spesial. Hasil memancing sebelah malam lebih baik daripada siang bergantung kepada rezeki kita. Menurut Man, respon daripada pemancing lain, hasil pancingan Kelong Bagan Lalang adalah baik. Antara ikan yang dapat ditangkap di kelong ini ialah jenahak, gelama, pari, senangin, mandi abu dan sebagainya...

Kelihatan pemancing sedang berehat di bawah pondok
yang disediakan di atas Kelong Bagan Lalang

Kelihatan ahli keluarga sedang meronda-ronda di sekitar
Kelong Bagan Lalang

Kelihatan para pemancing dengan joran masing-masing

Penulis bersama isteri
 Setelah kami beredar dari Kelong kami telah dibawa oleh Man mengelilingi Golden Palm Tree Resort & Spa, Sepang. Hotel mewah mengenakan caj bilik antara RM500.00 hingga melebihi RM1,000 semalam. Menurut Man, harga bilik hotel paling mahal adalah yang terletak paling hujung sekali. Kami agak teruja kerana berkesempatan untuk melihat pelbagai jenis bilik hotel dari jarak dekat dari bot laju kami. Kelihatan atap bilik hotel diperbuat daripada daun-daun kering. Melihat keadaan ini seolah-seolah kita berada di Pulau Mauritius.
Kelihatan Golden Palm Tree Resort dari jauh

Kelihatan bilik-bilik resort ini dari jarak dekat

Bilik-bilik hotel yang ditawarkan

Bilik-bilik resort ini dari jarak dekat

Bilik hotel yang dikatakan menawarkan harga paling mahal

Kami tiba di pangkalan nelayan kira-kira pukul 4.30 petang. Dalam perjalanan pulang menyusuri sungai kelihatan pokok-pokok kayu bakau yang menghijau menyejukkan mata memandang. Kelihatan juga monyet bergayutan di celah-celah pohon bakau. Inilah merupakan pengalaman indah yang tidak dapat kami lupakan.


Jeti nelayan di Kampung Bagan Lalang

Bot laju yang sedang berlabuh di jeti

Persiapan untuk turun dari bot

 
Pokok paya bakau yang memukau mata memandang
  

Wednesday, January 18, 2012

Cari-cari Makan di Tanjung Kling, Melaka

Kalau anda ke Melaka jangan lupa ke Tanjung Kling. Terletak kira-kira 15 km dari pusat Bandar Melaka. Untuk mereka yang gemar mencari resepi baru apa kata kita makan tengah hari di sebuah gerai yang terletak di Tanjung Kling. Kami sempat makan tengah hari di sebuah gerai yang agak popular di sini, iaitu M M Medan Citarasa. Melihatkan kepada kenderaan yang berhenti di gerai ini sudah tentu gerai ini menyajikan makanan yang sedap dan menyelerakan.


Kedudukan gerai ikan bakar di Tanjung Kling

Gerai M M Medan Citarasa yang kami singgah untuk
makan tengah hari

Kalau anda dari pusat Bandar Melaka gunakan jalan raya yang mengarah ke Pantai Klebang..hanya beberapa kilometer dari  Pantai Klebang anda akan nampak Hotel Everly di sebelah kiri jalan. Ke hadapan sedikit di sebelah kiri , anda dapat lihat deretan gerai. Ha..di situlah terletak gerai tersebut. Pelbagai jenis makanan ala kampung disediakan di sini seperti gulai lemak daging bakar, masak asam pedas Melaka, masak lemak jantung pisang, kari ikan, ayam masak merah, sambal tumis udang dan macam-macam lagi. Ada juga ikan bakar dan ayam goreng kampung yang amat menyelerakan kalau dimakan pada waktu tengah hari. Jangan lupa ambil cencaluk atau sambal belacan yang kaw!!! untuk dimakan dengan ikan bakar. Servis kat sini memang bagus dan cepat. Tuan punya gerai amat peramah dan melayan pelanggan dengan mesra. Harganya pula memang berpatutan. Jom ….cuba jangan tak cuba…best…punya…
Kelihatan Puan Zaireen dan Hairuniza sedang memilih
lauk-pauk spesial yang disajikan

Ikan Bakar yang menjadi makanan popular
di restoran M M Medan Citarasa

Kuah Gulai Asam Pedas yang mempunyai rasa yang
 tersendiri...umpp sedap

Kelihatan ayahandaku, anakku,  isteriku, dan anak  saudaraku 
sedang sibuk mengelolakan hidangan tengah hari

Wednesday, January 11, 2012

Pertunjukkan Singa Laut dan Ikan Lumba-lumba di Pulau Melaka, Melaka

Bertempat di Pulau Melaka terdapat satu lagi daya tarikan baru yang pastinya disukai oleh kanak-kanak, iaitu pertunjukan singa laut dan ikan lumba-lumba. Pertunjukan ini telah julung-julung kali diadakan pada 26 November 2011 yang baru lalu. Bertempat di Wildlife Theatre Melaka terdapat konsep pentas terbuka dengan kolam di tengah-tengahnya.


Di Hadapan Wildlife Theatre Melaka

Pentas terbuka ini mampu memuatkan sebanyak 1 500 orang penonton pada setiap kali pertunjukan. Menurut pekerja di situ yang ditemui, pertunjukan memakan masa kira-kira 1 jam setengah. Pertunjukan tersebut membabitkan tiga ekor singa laut berusia lapan bulan yang berasal dari Amerika Selatan, iaitu  Jonny, Mary,  dan Ann. Selain itu, pengunjung juga disajikan dengan pertunjukan haiwan reptilia, burung dan persembahan kebudayaan Sabah dan Sarawak dikenali sebagai Wildlife Theatre Tribe.
Pertunjukan akan diadakan pada dua sesi setiap hari, iaitu pada pukul 3.00 petang dan 7.00 malam. Taman Sealion ini dikatakan mengikut konsep yang sama di Taman Lagoon di Singapura.
Harga tiket bagi kanak-kanak dan veteran adalah RM15.00 dan bagi dewasa RM20.00. Tiket-tiket boleh didapati di kaunter tiket di pintu masuk.


Kaunter Membeli Tiket, Kelihatan Senarai Harga Tiket

Pembayaran boleh secara tunai atau kad kredit (Visa atau Master). Walaupun sekitar kawasan ini masih dalam proses pembangunan penulis merasakan Taman Sealion ini mampu menarik ramai pengunjung dari dalam mahupun luar negara. Penulis merasakan promosi yang dilakukan  oleh kerajaan Melaka melalui pelbagai media mampu menarik para pelancong berkunjung ke Taman Sealion, Melaka.
Saya tidak lagi berkesempatan menyaksikan pertunjukan di sini memandangkan kesuntukan masa. Walau bagaimanapun saya sempat menangkap gambar Taman Sealion ini untuk tontonan umum.

 
Pemandangan Sekitar Jambatan Menghubungkan
Tanah Besar dan Pulau Melaka


Wednesday, December 28, 2011

Tamu Masjid Selat, Pulau Melaka

Negara kita juga kaya dengan keindahan seni bina masjid. Di Melaka sahaja terdapat masjid-masjid lama yang kekal hingga kini seperti Masjid Tengkera, Masjid Kampung Kling, Masjid Kampung Hulu, Peringgit dan lain-lain lagi. Masjid-masjid ini mempunyai seribu satu sejarah dan  seni bina yang unik dan tersendiri.


Papan Tanda Menunjukkan Masjid Selat

Panorama Masjid Selat dari bahagian hadapan

Pada cuti Hari Natal yang lalu, saya dan ahli keluarga telah bersempatan melawat ke Masjid Selat yang terletak di Kampung Selat, Melaka. Apa yang menarik tentang masjid ini ialah, ia telah dibina di atas pulau buatan manusia yang lebih dikenali dengan Pulau Melaka. Melalui pemerhatian saya, seni bina masjid ini adalah gabungan seni bina dari Timur Tengah dan Melayu Tradisional/Kotemporari.


Bahagian Menuju Ke Pintu Masuk Ruang Solat

Panorama Masjid Selat yang kelihatan terapung

Konsep seni bina Melayu jelas diterapkan dalam pembinaan masjid apabila terdapat elemen batang buluh yang pangkalnya dibelah atau pecah dua dan membentuk beberapa bahagian. Masjid ini terletak di pinggir pantai Pulau Melaka menghadap Selat Melaka yang terbentang luas. Terletak di atas kawasan seluas kira-kira 1.8 hektar. Masjid ini akan kelihatan terapung apabila berlaku air pasang. Dan ketika air surut seolah-olah berada di kawasan pinggir pantai.
Apa yang membuat masjid ini lebih istimewa ialah kedudukannya di tengah-tengah pusat bandar Melaka dan kawasan perniagaan ekslusif selain perumahan yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama. Selain solat, orang tempatan dan para pelancong tempatan/asing juga berpeluang untuk meninjau lebih dekat pemandangan di perairan Selat Melaka pada bahagian pelantar hadapan masjid ini.
Masjid ini merupakan ilham Ketua Menteri Melaka, iaitu Datuk Ali Rustam yang menyatakan seni binanya mirip sebuah masjid terapung yang terletak di Bandar Jeddah, Arab Saudi. Meninjau landskap masjid ini di bahagian luar sahaja, jelas terpancar di hati kita akan ketenangan jiwa yang dirasai dengan berlatarbelakangkan perairan Selat Melaka dengan angin laut yang bertiup, amat menyamankan hati dan perasaan kita. Mengamit diri kita akan kebesaran Allah yang maha pencipta dan sukakan keindahan.


Menara Dwi-fungsi sebagai melaungkan azan
dan petunjuk laluan kapal

Di bahagian luar juga tersergam indah binaan menara setinggi 30 meter yang terletak di sebelah kiri pintu gerbang Masjid Selat. Menurut sumber, menara masjid ini bukan sekadar berfungsi melaungkan azan malahan berfungsi sebagai “Rumah Api” dik kerana kedudukannya di pinggir Selat Melaka yang dilintasi banyak kapal dagang dari seluruh pelusok dunia. Ini mengingatkan kita tentang kemashyuran Pelabuhan Melaka pada Zaman Kesultanan Melayu Melaka yang pernah menjadi pusat perdagangan dan perkembangan agama Islam di seluruh Nusantara.
Apa yang menarik tentang struktur seni bina masjid ini adalah terdapatnya empat kubah kecil yang terletak di setiap penjuru mengapit kubah besar berwarna kuning keemasan, berukuran 24 diameter. Kubah Besar yang indah dan unik inilah yang menaungi Dewan Besar Solat.
Pada pemerhatian saya masjid ini lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti dewan solat, dewan serba guna, perpustakaan, kelas pengajian, bilik wuduk, bilik persalinan dan lain-lain lagi bagi memenuhi fungsi aktiviti bagi mengimarahkan masjid.
Apabila saya menjejakkan kaki ke ruang utama solat terasa diri amat tenteram sekali dengan keindahan seni bina dicampur dengan elemen alam semula jadi. Dari ruang solat kita dapat lihat keindahan Selat Melaka yang terbentang luas. Solat di masjid ini walaupun sekadar Solat Sunat Tahyattul Masjid membuatkan hati kita begitu teruja akan kebesaranNya.


Dewan Solat Utama Masjid Selat

Mimbar Masjid

Pemandangan Selat Melaka dari Ruang Solat Utama
Saya juga amat teruja dengan keindahan seni buatan mimbar masjid kerana ia diperbuat daripada kayu jati dengan seni ukit Melayu tradisional bermotifkan flora. Seni-seni kaligrafi, ayat-ayat suci al-Quran turut memenuhi setiap sudut dan dinding-dinding masjid.


Seni Arca Yang Menarik dan Memukau

Seni Arca Yang Bermotifkan Flora
Melalui permerhatian saya, seni muqarnas di bahagian atas mihrab terdiri dari jubin-jubin yang terpilih. Namun, ia telah dibina dengan paten-paten geografi dengan kedalaman yang berbeza. Ini bagi menghasilkan sistem bunyi akustik yang baik. Di samping itu membantu mengurangkan kesan gema.
Pada keseluruhannya, Masjid Selat dicat dengan warna putih disulami dengan warna biru dan kuning keemasan. Ini menyerlahkan lagi keindahan seni bina Islam dan sekali gus mampu menceritakan keindahan Islam itu sendiri.
Kalau anda berkesempatan berkunjung ke Melaka pada cuti akan datang, jadikan Masjid Selat salah satu destinasi percutian anda. Kepada yang bukan Islam (non muslim) atau yang ingin mendekati Islam silalah melawat ke masjid ini. Anda tidak perlu khuatir kerana jubah-jubah disediakan kepada mereka yang memerlukannya sebagai menghormati adab ketika berada di masjid.


Seni Bina di Bahagian Bawah Menara Masjid Selat

Tempat Rehat Untuk Pelawat yang Datang

Landskap Taman di Bahagian Hadapan Masjid Selat

Tangga Pusing disediakan untuk ke Bahagian Atas Masjid

Dari kiri: Hareez, Haizal, Hafeey dan Pn. Zaireen

Penulis Bersama Isteri dan Seorang Anak

Dari kiri: Pn Zaireen, Hjh Aizah, Pn Hairuniza, Hareez,
Haikal dan Hj. Harun