Tuesday, March 12, 2013

LENGGONG (PERAK) – PENYIMPAN WARISAN SEJARAH SILAM

Kita sebagai rakyat Malaysia harus berasa bangga kerana negara kita dianugerahkan dengan banyak tempat menarik untuk dikunjungi oleh para pelancong. Salah satu tempat yang menarik di Perak yang perlu anda kunjungi ialah bandar Lenggong di negeri Perak. Lenggong adalah sebuah bandar yang terletak di utara negeri Perak. Bandar ini terletak 100 kilometer dari utara bandar raya Ipoh.

Bandar Lenggong boleh dikunjungi melalui jalan utama yang menghubungkannya dengan bandar berdekatan. Sepanjang perjalanan menuju ke bandar Lenggong, di kiri-kanan jalan kebanyakannya terdapat pemandangan ladang sawit, hutan rimba dan kawasan tanah tinggi batu kapur yang sungguh memikat. Suasana yang sungguh sejuk dan nyaman juga terasa jika anda berkesempatan melalui jalan utama ke Lenggong terutamanya pada waktu pagi.
Sesuatu yang paling teruja bila kita ke bandar Lenggong adalah untuk menyaksikan sendiri perkembangan tamadun awal manusia yang bermula di Lembah Lenggong. Tahukah anda Lembah Lenggong merupakan tapak arkeologikal yang terkenal di Malaysia? Di sini wujudnya bukti-bukti penempatan manusia sejak zaman Paleolitik lagi seperti Kota Tampan, Bukit Jawa di Kampung Gelok dan Kampung Temelong. Penemuan arkeologikal paling terkenal di Lenggong ialah Orang Perak (Perak Man). Melalui ujian radiokarbon, rangka ini merupakan peninggalan arkeologi berusia 11,000 tahun yang ditemui pada 1990.
Para pengunjung jangan lepaskan peluang singgah ke Muzium Arkeologi Lenggong di Kota Tampan. Di sini dipamerkan semua artifak yang digali dari kawasan sekitar. Muzium itu terletak dalam lingkungan satu ladang kelapa sawit di jalan dari Kuala Kangsar ke Gerik (atau Grik).
Kita makluman kita semua, pada 2 Julai 2012, UNESCO telah mewartakan Warisan Arkeologi Lembah Lenggong sebagai salah satu daripada Tapak Warisan Dunia UNESCO. Warta pemasyhuran telah dikeluarkan oleh Jawatankuasa Warisan Dunia UNESCO.
Rasa tidak lengkap jika kita tidak bermalam di bandar Lenggong kerana banyak tempat-tempat menarik bertemakan alam sekitar yang boleh kita kunjungi. Antara tempat penginapan yang popular di Lenggong termasuklah Homestay Kampung Beng, Resort Tasik Raban, dan Rumah Rehat Lenggong.
Tempat-tempat menarik yang boleh anda sekeluarga kunjungi termasuklah Kawasan Rekreasi Gua Tok Giring, Tasik Raban, dan Lata Kekabu.
Antara kawasan arkeologi zaman pra-sejarah yang boleh anda sekeluarga kunjungi termasuklah Gua Teluk Kelawar, Gua Harimau, Gua Ngaum, Gua Puteri, Gua Asar, Gua Badak, Gua Kajang, Bukit Jawa, Bukit Sapi, dan Gua Gunung Runtuh.
Di bandar Lenggong juga terdapat pelbagai aktiviti lasak serta mencabar yang boleh kita ceburi termasuklah aktiviti meredah hutan (jungle tracking), cembara gua (caving, aktiviti menyusur Sungai Perak, aktiviti rekreasi dan aktiviti tasik. Sambil menjalankan aktiviti tersebut anda akan teruja dengan panorama alam sekitarnya yang sungguh indah dan menawan.
Em...apa yang lebih istimewa ialah tentang makanannya di mana bandar Lenggong masyhur kerana hidangan ikan air tawarnya. Makanan istimewa tempatan adalah pekasam, iaitu ikan yang diperap bersama garam dan beras bakar, dan biasanya diperam dalam tempayan selama dua minggu.

Ok apa kata kita pergi Restoran Tasik Raban yang popular dengan masakan kampung dan ikan sungai. Tak susah nak cari kedai ni, jika dari arah Gerik, menuju ke Lenggong, nampak je simpang masuk ke Muzium Arkeologi, maknanya anda dah dekatlah tu. Pergi terus dan kedai ni betul-betul tepi jalan, iaitu sebelah kiri jalan, nampak "signboard' besar bertulis 'RESTORAN TASIK RABAN'. Cubalah makanan kat situ memang sedap...tambahan pula kalau perut lapar...pasti kow...


Muzium Arkeologi Lenggong yang menyimpan pelbagi kisah
silam kota Lenggong pada zaman dahulu


Restoran Tasik Raban yang pastinya menjanjikan juadah yang
 istimewa dan lazat


Pemandangan Tasik Raban Resort dari jauh


Jambatan Raja Nazrin yang merintangi Tasik Raban