Wednesday, December 26, 2012

Bukit Melawati, Kuala Selangor, Selangor




Mercu Tanda Bukit Melawati (Rumah Api Bukit Melawati)
  Dalam perjalanan anda sekeluarga ke Perak atau ke Kuala Lumpur atau Klang jangan lupa melepaskan peluang untuk melawat satu destinasi pelancongan bersejarah di Selangor, iaitu Bukit Melawati. Bukit ini terletak di Kuala Selangor, Selangor. Kedudukan Bukit Melawati agak strategik kerana terletak di kuala Sungai Selangor, menghadap Selat Melaka dan Pulau Sumatera, Indonesia. Bukit ini telah dinaiktaraf sejak kebelakangan ini menjadikan ia merupakan salah satu destinasi pelancongan yang popular bagi pelancong tempatan dan luar negara. Bukit bersejarah ini pernah dijadikan tempat bersemayam Sultan Selangor, iaitu sebelum Sultan Abdul Samad berpindah ke Bukit Jugra di Kuala Langat. Untuk ke puncak Bukit Melawati, pengunjung boleh menaiki kenderaan sendiri dari hari Isnin hingga Jumaat. Bagaimanapun, Sabtu, Ahad dan cuti umum, pengunjung perlu menaiki trem berdekatan masjid lama Kuala Selangor dengan harga RM2 (dewasa) dan RM1 (kanak-kanak).
Antara tempat-tempat menarik dan tapak sejarah yang anda boleh lawati termasuklah:

Bahagian atas Bukit Melawati:
● Rumah api
● Kubu lama
● Replika meriam lama
● Menara tinjau
● Makam Sultan dan kerabat diRaja Selangor
● Batu pancong
● Perigi/Telaga
● Muzium Sejarah Daerah Kuala Selangor

Kaki bukit dan sekitar Bukit Melawati:
● Bandar Kuala Selangor
● Masjid Kuala Selangor
● Taman Alam Kuala Selangor
● Pangkalan nelayan Permatang
● Jeti istirahat Kuala Selangor

Peta Pelancongan Bukit Melawati, Kuala Selangor, Selangor

Apa yang istimewa apabila anda berada di Bukit Melawati ini ialah panoramanya yang sejauh mata memandang di mana kelihatan terbentang luas perairan Selat Melaka. Dapat juga dilihat panorama bandar-bandar berdekatan seperti Tanjung Karang dan Sekinchan. Kelihatan juga taburan ladang kelapa sawit yang begitu luas dan kehijauan hutan paya bakau yang menjadi habitat hidupan liar seperti lotong, ketam, ular, memerang dan kelip-kelip. Hutan bakau ini juga adalah sebahagian daripada kira-kira 198 hektar Taman Semula Jadi Kuala Selangor tempat berkumpulnya lebih 160 spesies burung. Jangan lepaskan peluang untuk merasai pengalaman member makan kepada puluhan ekor monyet ´Silver-Leafed´ dan ´Macaques´yang berada di sekitar Bukit Melawati. Menurut salah seorang penduduk tempatan yang bekerja sebagai penjaja makanan monyet  ini berkata, monyet ini berasal dari hutan paya bakau berdekatan. Mereka akan naik ke puncak Bukit Melawati pada siang hari kerana telah menjadi rutin harian mereka untuk mendapatkan makanan seperti kacang, panjang, pisang atau roti daripada para pengunjung yang datang. Aksi sang monyet dan pengunjung yang dikerumuni kumpulan monyet memang mencuit hati. Ia merupakan satu pengalaman yang sukar dilupakan. Ini sekali gus menjadikan percutian anda sekeluarga ke Bukit Melawati lebih bermakna terutama kanak-kanak.
 


  
FAKTA SEJARAH:
Mengikut sejarah, Bukit Melawati dulunya kubu pertahanan Kesultanan Selangor untuk memantau pergerakan kapal dagang dan kapal perang yang melalui Selat Melaka dan Kuala Selangor.
Kota itu ditakluki Belanda pada 1784 selepas menewaskan Portugis dan memusnahkan kota lama dengan membina istana Eropah, Fort Altingberg sempena nama komander mereka, Gabenor Alting. Namun, kota itu musnah selepas tercetusnya Perang Saudara Selangor (1867-1873) dalam perebutan bijih timah. Seni bina Kubu Melawati wujud sejak era pemerintahan Sultan Ibrahim.



Pangkor Island Beach Resort, Pulau Pangkor


Papan Tanda Pangkor Island Beach Resort
 Percutian kami sekeluarga kali ini amatlah menyeronokkan. Kali ini kami bersempatan bercuti di salah satu destinisi percutian yang popular di Pulau Pangkor, iaitu Pangkor Island Beach Resort. Perjalanan dari Jeti Lumut ke Jeti resort di Pulau Pangkor mengambil masa kira-kira 40 minit. Sepanjang perjalanan pemandangan sungguh menakjubkan menyebabkan kami sekeluarga terutamanya budak kecil terasa sedikit teruja. Pastikan anda check-in terlebih dahulu di kaunter resort di Jeti Lumut sebelum menaiki feri khas yang akan membawa pengunjung hotel terus ke jeti resort. Setelah turun ke jeti, ada bas khas disediakan untuk pengunjung hotel yang akan membawa pengunjung terus ke lobi hotel. Untuk pengetahuan semua, dulu hotel ini dikenali sebagai Pan Pacific Hotel dan selepas diambil alih oleh pentadbiran baharu, hotel ini dinamai Pangkor Island Beach Resort.
Apa yang boleh saya katakan, bercuti selama 3 hari 2 malam di resort ini memang menyeronokkan kerana pantainya yang indah serta panorama alam sekelilingnya yang penuh dengan kehijauan dan sungguh tenang. Kadang-kala terasa tinggal di sebuah pulau yang dikelilingi dengan pelbagai spesies pokok hutan. Resort ini agak eksklusif sedikit kerana terletak jauh daripada orang ramai dan pantainya hanya dikhaskan kepada pengunjung resort sahaja. Memang menenangkan sekali bagi mereka yang ingin merehatkan minda setelah penat bekerja. Panorama pada waktu pagi yang segar, dingin dan mententeramkan serta pada sebelah petang dengan panorama matahari terbenam yang sungguh romantis sekali. Walau sesetengah bahagian resort ini agak usang, dengan dekorasi yang menarik dan dijagai rapi oleh pihak pentadbiran membuatkan perkhidmatan yang disediakan di resort ini agak memuaskan juga.
Antara perkhidmatan yang disediakan oleh pihak pengurusan hotel kepada pengunjung termasuklah:
● bar tepi kolam
● bilik mesyuarat
● restoran
● penjagaan bayi
● wi-fi di lobi
● dobi/cucian kering
● penjagaan bayi
● kedai runcit
● sewa motosikal dan basikal
island tour
● kelab kanak-kanak
● klinik
● kolam renang (dewasa dan kanak-kanak)
● pantai persendirian
● padang golf
● gelanggan tenis, bola tampar
● sukan air
● spa dan pusat kesihatan
● taman

Antara gambar-gambar menarik percutian yang sempat saya rakamkan sebagai kenangan dan makluman semua:

 


Tuesday, December 25, 2012

Teluk Nipah, Pulau Pangkor



Peta Pulau Pangkor

Kalau kita berkesempatan berkunjung ke Pulau Pangkor jangan lupa untuk berkunjung ke Pantai Teluk Nipah. Kawasan peranginan pinggir pantai kat sini mempunyai pemandangan yang cantik. Air lautnya berwarna hijau kebiru-biruan. Pasir pantainya putih bersih, panjang dan mengamit kedatangan pelancong tempatan dan luar negara berkunjung untuk mandi-manda di sini. Sepanjang jalan utama Teluk Nipah ni terdapat banyak gerai makan, gerai menjual pelbagai cenderahati, baju ‘T’ dan seluar bermuda. Teluk Nipah menawarkan banyak chalet yang bercirikan seni bina Melayu eksotik. Pakej-pakej yang ditawarkan temasuk pakej percutian (individu, pasangan, keluarga & kumpulan). Antara tempat penginapan yang terdapat sekitar Teluk Nipah ialah:
● Purnama Beach Resort
● Pangkor Bay View
● Flora Beach Resort
● Hornbill Resort
● Pangkor Indah Beach Resort
● Palma Beach Resort
● Havana Beach Resort
● Pangkor Inn Chalet
● Nipah Waterfront
● Horizon Inn
● Ombak Inn
Pelbagai aktiviti rekreasi serta sukan air yang menarik boleh dirasai pengalamannya apabila anda berkunjung ke dua buah pulau iaitu Pulau Mentangor dan Pulau Giam yang terletak bertentangan dengan Teluk Nipah. Untuk ke pulau ini anda bolehlah menyewa kayak atau bot laju dengan kadar sewa yang berpatutan. Perjalanan mengelilingi kedua-dua buah pulau ini adalah kira-kira 30 – 45 minit sahaja. Menurut pemandu bot, jika air laut surut, pelancongan boleh berjalan kaki ke pulau-pulau yang terdekat kerana terbentuknya beteng pasir yang panjang menghubungkan pantai Teluk Nipah dengan pulau tersebut. Di Pulau Giam, airnya yang hijau kebiru-biruan dan jernih membolehkan penggemar sukan air melakukan pelbagai aktiviti termasuk snorkeling  bagi melihat keindahan habitat batu karang, bermain jet ski, menunggang banana bot, berkayak, menikmati keindahan pantai dengan kapal layar. Apa yang istimewanya anda boleh lihat hidupan akuatik yang unik iaitu gamat. Menurut pemandu bot gamat di sini bukanlah daripada spesies yang boleh dijadikan ubatan alternatif seperti gamat di Pulau Langkawi.
Lebih istimewa, pengunjung akan lebih teruja apabila bot anda dikelilingi oleh pelbagai jenis ikan laut yang berwarna-warni serta jinak. Bagi kaki pancing pula jangan lepaskan peluang membuang umpan di kawasan pantai Pulau Mentangor. Ini kerana antara ikan yang paling senang dijinakkan di kawasan perairan pulau tersebut ialah ikan kerapu. Ikan-ikan ini seolah-olahnya telah biasa dengan kehadiran manusia ke habitat mereka. Sementara itu, bagi pengunjung yang meminati aktiviti yang lebih mencabar atau kepada pencinta flora dan fauna boleh meredah hutan dara Teluk Nipah serta menikmati keindahannya yang masih kekal terpelihara.